top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tanaman cili bara fertigasi tarik minat golongan muda


Dr.Rizoh (tengah), Shanim (dua dari kanan) bersama para peserta projek penanaman cili bara Kg.Sayap

17 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kejayaan 15 peserta belia Kg.Sayap dalam projek penanaman cili bara secara fertigasi di kampung itu menarik minat anak muda mengusahakan tanaman itu secara besar-besaran.


Peserta terbaik kategori Belia B40, Dzzyrion Aming, 25, berkata, pertanian moden boleh memberikan pendapatan lumayan sekiranya diusahakan bersungguh-sungguh dan berskala besar.


“Saya berterima kasih kepada Kelab Kebajikan Kadamaian kerana memberikan peluang kepada saya menjadi sebahagian daripada peserta projek fertigasi cili bara di Kg. Sayap.


Dr.Rizoh bersama Dzzyrion.

“Saya berharap lebih ramai belia diberi peluang dan bimbingan untuk menceburi bidang pertanian moden seperti ini,” katanya.


Dzzyrion berkata, pada mulanya beliau kurang berminat dalam pertanian namun selepas menamatkan projek penanaman cili bara secara fertigasi selama enam bulan, terbukti pertanian juga boleh memberikan pendapatan lumayan.


“Pada mulanya, saya kurang berminat dengan pertanian kerana saya beranggapan mencari pekerjaan di luar gaji lebih tinggi daripada pendapatan petani moden.


Munirah menyampaikan sijil penyertaan kepada Dzzyrion, pada majlis penutupan Projek Fertigasi Kg.Sayap, baru-baru ini.

“Selepas mengikuti projek penanaman fertigasi cili bara dibawah seliaan APPGM-SDG, saya melihat pertanian moden adalah satu perniagaan yang boleh memberikan pendapatan yang baik.


“Oleh itu, saya bercadang memohon bantuan dalam bentuk geran atau pembiayaan seperti Geran agroperneur muda bagi menambah sekurang-kurangnya 2,000 polibeg fertigasi bagi penanaman fasa seterusnya,” katanya.


Sebagai permulaan beliau hanya mengusahakan 100 polibeg cili bara di tanah milik bapanya di Kg.Sayap.


Kelab Kebajikan Kadamaian Kota Belud berjaya melaksanakan program pembangunan sosioekonomi komuniti luar bandar di Kampung Sayap, dibawah seliaan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia – Matlamat Pembangunan Lestari (APPGM-SDG), melibatkan 15 peserta belia dan wanita B40 di kampung itu.


Pengarah Projek APPGM-SDG Kg. Sayap Dr.Rizoh Bosorong berkata, projek penanaman fertigasi cili bara dijalankan selama enam bulan bermula September 2022 hingga Februari 2023.


Shanim menyampaikan cenderhati kepada Munirah.

Beliau berkata, kesemua peserta diberikan kursus asas Fertigasi, latihan penyediaan kertas kerja projek mini fertigasi, enam siri bimbingan dan pemantauan lapangan, pengurusan projek fertigasi dan pemasaran produk cili.


“Kelab Kebajikan Kadamaian yang melaksanakan projek itu melantik pengusaha fertigasi berjaya sebagai pembimbing lapangan untuk membantu para peserta,” katanya.

Menurut Dr. Rizoh, setiap peserta dibimbing sehingga mereka mampu mengendalikan sistem fertigasi dengan pengawasan yang minima dan menghasilkan tuaian yang memuaskan.


“Sebagai permulaan kesemua peserta masing-masing mengusahakan tanaman cili bara 30 hingga 200 polibeg dengan jumlah keseluruhan lebih kurang 800 polibeg.


Munirah ketika berucap pada majlis itu.

“Dalam tempoh dua bulan, mereka berjaya mengumpul hasil tuaian lebih kurang 300 kilogram dengan jumlah pendapatan terkumpul hampir RM10,000 berdasarkan kadar jualan cili bara di pasaran antara RM30 hingga RM35 sekilogram,” katanya.


Sementara itu, ketika merasmikan majlis penutupan projek Fertigasi Cili Bara Fasa 1 di Kg. Sayap, baru-baru ini, Pengerusi APPGM-SDG 2023, Munirah Majlis berkata, APPGM-SDG menggunakan pendekatan bottoms-up dan partisipatif dalam memetakan isu dan menganalisa situasi di lapangan.


Beliau berkata, pemetaan dan keutamaan isu membantu APPGM-SDG mengenal pasti projek penyelesaian tempatan yang akan dilaksanakan oleh penyedia penyelesaian tempatan (Solution Provider).



“Badan-badan NGO telah memainkan peranan penting sebagai ‘solution provider’ dalam melaksanakan projek-projek SDG di kawasan pilihan raya Parlimen Malaysia.


“Projek penyelesaian yang merupakan projek mikro serta dana mikro RM20,000 hingga RM40,000 untuk tempoh tiga hingga empat bulan menggambarkan penyelesaian tempatan,” katanya.


Munirah berkata, projek penyelesaian mikro memerlukan usaha berterusan bagi memastikan kelestarian projek.


Munirah bergambar bersama para peserta projek penanaman cili bara secara fertigasi.

“APPGM-SDG hanya menyediakan pembiayaan dua tahun dan selepas itu beberapa projek penyelesaian terbaik terpilih akan beralih ke projek jangka panjang dengan sumber pembiayaan baharu daripada sumber CSR dan GLC serta pembiayaan komuniti,” katanya.


Pengerusi Kelab Kebajikan Kadamaian, Shainim Epin berkata, Kelab merupakan salah satu badan NGO Kawasan Parlimen Kota Belud dilantik sebagai solution provider sejak 2020 dan telah melaksanakan tiga projek APPGM-SDG.

Комментарии


bottom of page