Wartawan Nabalu News
Tanda harga harus diletakkan, elak kekeliruan pengguna
6 Mei 2022 Oleh Wartawan Nabalu News KOTA KINABALU: Para peniaga diingatkan supaya sentiasa mempamerkan tanda harga bagi setiap barang jualan untuk mengelak kekeliruan pengguna. Pesiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat, David Chan berkata, ini penting bagi memudahkann para pengguna meneliti dan membuat perbandingan harga sebelum membuat pembelian. “Pengguna perlu tahu harga untuk barangan yang dijual, barang tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa diletakkan tanda harga. “Apabila pembeli ingin membayar di kaunter, harga pula barangkali diluar kemampuan dan ini akan memberikan masalah kepada pengguna serta peniaga,” katanya. Dalam pada itu, David turut menyeru Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk membuat pemantauan berkala bagi memastikan semua peniaga mempamerkan tanda harga. “KPDNHEP perlu pantau dengan lebih kerap, kerana penjual kadang kala lalai dan menganggap perkara ini (pamer tanda harga) sebagai sesuatu yang tidak penting. “Pengguna sudah lama menyuarakan masalah ini tetapi sehingga kini masih ada peniaga tidak mempamerkan tanda harga,” katanya. Jelas beliau, peniaga juga perlu sentiasa peka dan jangan terlalu mengejar keuntungan tanpa memikirkan hak dan masalah dari sudut pengguna. “Kita faham sekarang harga barang makanan, bahan mentah agak tinggi dan naik harga berikutan pelbagai masalah yang melanda dunia, namun perlu ada sifat timbang rasa dan jangan tamak mengejar keuntungan,” katanya. Dalam pada itu, David juga menasihati pengguna untuk tampil membuat aduan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya terdapat sebarang masalah berkaitan urus niaga jual beli keperluan seharian. Berkaitan isu bekalan gula di Sabah yang habis pada musim perayaan, David turut meminta kerajaan memandang serius isu ini terutamanya pada musim perayaan,” katanya.
댓글