Tangani Polemik Bendera Dengan Baik, Jangan Cetus Perbalahan: Pemuda UPKO
- nabalunews
- Aug 16, 2025
- 1 min read

16 Ogos 2025
TELUPID: Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan bendera seharusnya menjadi lambang perpaduan dan kesatuan masyarakat, bukannya punca perpecahan.
Ketua Pemuda UPKO Nasional, Felix Joseph Saang berkata, isu berkaitan bendera yang hangat diperkatakan ketika ini boleh diselesaikan dengan pelbagai pendekatan yang lebih baik, tanpa perlu dibawa ke jalanan atau dijadikan polemik terbuka.
“Pihak-pihak berkenaan perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan. Jangan kita bertindak melulu.
“Sekiranya berlaku kesilapan, ada cara untuk menegur dan memberi tunjuk ajar. Jika disengajakan, undang-undang sedia ada boleh digunakan untuk tindakan sewajarnya,” katanya.
Felix berkata, tindakan memanjangkan isu itu hanya akan meningkatkan ketegangan dan berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
“Kita mahu isu ini dihentikan segera dan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat serta menyelesaikannya.
“Fokus kita adalah memastikan bendera terus menjadi simbol penyatuan rakyat, bukan sumber perbalahan,” tegasnya.
Felix berkata, sebagai pimpinan Pemuda, sudah menjadi tanggungjawab untuk menyuarakan kebimbangan dan menolak perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Katanya, perkara sensitif seperti ini boleh mencetuskan perbalahan dan melarat di tempat-tempat lain sekiranya tidak kawal atau dibendung dengan tegas.















Comments