top of page
  • nabalunews

Tapak Hospital Sook disediakan

26 Julai 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SOOK: Pihak pentadbiran di daerah kecil Sook bersedia untuk mengenal pasti kawasan tanah seluas sepuluh hektar

bagi pembinaan sebuah bangunan hospital untuk memenuhi keperluan kesihatan penduduk di daerah itu pada masa akan datang.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook Datuk Ellron Angin berkata ini bertepatan dengan visi penaikan taraf daerah kecil Sook kepada daerah penuh tidak lama lagi selain untuk menyediakan keperluan perkhidmatan rawatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat pada masa akan datang.


"Kita bersedia untuk mengenal pasti tapak kerana kawasan klinik sedia ada masih luas untuk menampung pembinaan bangunan hospital pada masa akan datang" katanya.


Ellron yang juga Menteri Belia Dan Sukan Sabah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran naik taraf klinik kesihatan daerah Sook, Klinik Desa Karamatoi Dan Klinik Desa Marapok di perkarangan Klinik Kesihatan Sook, semalam.


Tambahnya, dengan adanya sebuah hospital di daerah Sook, ia pasti memudahkan penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan

kerana dapat menjimatkan masa berbanding ketika ini di mana penduduk daerah itu terpaksa ke Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut, satu perjalanan yang memakan masa kira-kira

45 minit.


Pada masa sama, Ellron juga merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan kerana terus mengutamakan pembangunan kesihatan kepada rakyat di luar bandar di negeri ini.


Sementara itu, wakil Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau yang juga Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Doktor Vinoth Viknes Mutuhsamy berkata, pembinaan bangunan baharu Klinik Kesihatan Sook ini bernilai hampir RM1 juta melalui peruntukkan Kerajaan Pusat yang mana kerja-kerja pembinaan dimulakan pada awal tahun ini.


Klinik ini dijangka akan mula beroperasi sebelum akhir tahun ini selepas peralatan-peralatan kesihatan baharu siap dipasang.


"Bangunan klinik baharu ini menyediakan banyak perkhidmatan seperti 'out patient prime', perkhidmatan ibu dan anak dan akan ada pakar perubatan keluarga yang akan ditempatkan di sini" katanya.


Selain itu katanya, terdapat juga program-program yang lain seperti saringan warga emas, saringan remaja dan wellness.


Sementara itu katanya, penaiktarafan dua lagi bangunan baharu di Klinik Desa Karamatoi dan Klinik Desa Marapok masing-masing bernilai RM600,000 masih lagi dalam kerja-kerja pembinaan dan dijangka siap pada bulan Ogos ini.

Comments


bottom of page