nabalunews
Tapak Perkuburan Orang Islam Kampung Sim-Sim, Sandakan yang baharu akan dibina
24 November 2024
SANDAKAN: Tapak cadangan tanah perkuburan baharu untuk masyarakat Islam di Kampung Sim-Sim di sini adalah untuk memastikan masyarakat Islam di kawasan itu mempunyai tempat pengebumian yang bersesuaian dan berdekatan dengan komuniti mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung melawat ke tapak cadangan tanah perkuburan baharu itu pada Ahad sebagai susulan kepada kelulusan peruntukan oleh kerajaan negeri Sabah bagi pembinaan kawasan perkuburan itu yang akan memenuhi keperluan penduduk setempat.
Turut serta dalam lawatan ini adalah Setiausaha ADUN Tanjong Papat, Liau Fui Fui, pegawai-pegawai dari Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Ketua Kampung Berhala Darat Sim-Sim, Ketua Kampung Melayu Bumiputera Sim-Sim, pasukan Pusat Khidmat ADUN Tanjong Papat serta penduduk tempatan.
Frankie berkata, lawatan ini juga menjadi platform untuk mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin kampung dan penduduk setempat mengenai pelaksanaan projek ini.
Perbincangan turut diadakan bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar dan menepati keperluan masyarakat.
Frankie.turut menekankan bahawa projek ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menangani keperluan penduduk setempat dan memperkasakan keharmonian masyarakat.
Katanya pihak MPS dan agensi-agensi terlibat akan terus bekerjasama rapat bagi memastikan projek ini dilaksanakan mengikut jadual dan spesifikasi yang ditetapkan.
Frankie merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri Sabah atas sokongan dan komitmen yang diberikan dalam merealisasikan projek ini.
Beliau turut menyeru penduduk setempat untuk terus memberi sokongan dan kerjasama bagi memastikan kelancaran projek ini demi kepentingan bersama.
Comments