top of page

Tapak Tamu Desa Tradisi Kampung Kiau Taburi dimeriahkan pelbagai acara Ahad ini

nabalunews

6 Disember 2024


KOTA BELUD: Jualan MADANI Koperasi dan penyerahan geran tanah di bawah Program Khas Pengukuran Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) antara pengisian Program Santuni MADANI dan Tamu Desa Kampung Kiau Taburi, Kota Belud yang dijadual berlangsung 8 Disember ini.


Bagi memastikan kelancaran program yang bakal diadakan di Tapak Tamu Desa Tradisi Kampung Kiau Taburi, Kota Belud itu, Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian, Carlye Lajimin, yang mewakili ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick, mengadakan lawatan untuk meninjau persiapan acara itu yang merupakan sebahagian daripada program Satu Pemimpin Satu Kampung.


Program ini dijadual dirasmikan Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada Ahad, 8 Disember ini.


Selain Jualan MADANI Koperasi dan Penyerahan Geran Tanah Penyukatan PANTAS, pelbagai acara dan aktiviti menarik untuk komuniti setempat dijangka akan berlangsung pada tarikh berkenaan.


Untuk rekod, Kampung Kiau turut dikenali sebagai satu daripada kampung Anak Angkat Madani di Malaysia, yang menjadi simbol kerjasama dan pembangunan untuk masyarakat setempat melalui program-program kerajaan.

Comments


bottom of page