Tarif Elektrik: Kerajaan tampung subsidi RM5.2 bilion
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tarif Elektrik: Kerajaan tampung subsidi RM5.2 bilion


24 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menampung kos subsidi elektrik sebanyak RM5.2 bilion sempena pelarasan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh 1 Julai hingga 31 Disember 2023.


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, hampir semua pengguna domestik dan bukan domestik voltan rendah tidak akan terjejas dengan pelarasan tarif elektrik yang terbaharu.


Beliau berkata, bagi pengguna bukan domestik voltan tinggi (HV) dan sederhana (MV) serta kategori baharu utiliti air dan pembentungan akan menikmati penurunan.


“Ini ekoran purata harga bahan api menurun sedikit dari USD224/metrik tan (Julai- Disember 2022) kepada USD173.50/metrik tan (Januari-Jun 2023).


"Namun purata harga arang batu masih lagi tinggi dan melebihi unjuran kos bahan api yang ditetapkan dalam tempoh RP3 iaitu USD79/metrik tan,” katanya dalam kenyataan media.


Nik Nazmi berkata, pengguna domestik dengan penggunaan elektrik bulanan 1,500 kWj dan ke bawah tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik. Ini merupakan 99% daripada pengguna domestik di Semenanjung.


Katanya, pengguna bukan domestik kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik di mana surcaj ICPT pada kadar 3.7 sen/kWj dikekalkan.


“Perniagaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil, petani, penternak, pekebun dan lain-lain perniagaan juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik.


“Kategori baharu pengguna bukan domestik iaitu operator air dan pembetungan di negeri-negeri akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 3.7 sen/kWj,” katanya.


Nik Nazmi berkata, ini bermakna operator-operator air di bawah Kerajaan Negeri akan menikmati surcaj yang lebih rendah untuk tempoh Julai hingga Disember 2023.


“Keputusan ini selaras dengan usaha kerajaan meningkatkan kapasiti dan keupayaan operator air untuk menyediakan air terawat dan bersih kepada pengguna,” katanya.


Katanya lagi, pengguna bukan domestik iaitu pengguna-pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri dan komersil akan menikmati penurunan kadar surcaj daripada 20 sen/kWj kepada 17 sen/kWj.


“Ini bermaksud, pengguna bukan domestik MV dan HV ini akan menikmati penurunan bil elektrik di antara 28% hingga 35% sebulan.


“Selaras dengan hasrat kerajaan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) supaya subsidi elektrik dilaksanakan secara bersasar bermula Julai 2023, pengguna- pengguna domestik dengan penggunaan elektrik tinggi melebihi 1,500 kWj atau bersamaan bil elektrik minimum RM708 sebulan akan dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj,” katanya.


Dianggarkan seramai 83,000 pengguna iaitu satu peratus pengguna domestik akan mengalami kenaikan bil elektrik bulanan minimum sebanyak RM187 (25%).


“Walaupun berlaku kenaikan bagi pengguna domestik kategori ini, Kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM58 juta khas untuk kategori ini memandangkan surcaj ICPT tidak dilepaskan sepenuhnya.


“Pengguna boleh melihat jumlah subsidi yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.


“Kerajaan berharap agar pemberian subsidi ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutamanya dalam tempoh pemulihan ekonomi dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan,” katanya.


Beliau berkata, kementeriannya komited dengan perancangan peralihan tenaga kepada penggunaan tenaga yang mampan, sambil mengimbangi elemen sekuriti tenaga, kebolehcapaian tenaga dan kelestarian alam sekitar.


“Antaranya, Kementerian menggalakkan amalan kecekapan tenaga dan peralihan kepada penggunaan tenaga boleh baharu melalui pemasangan sistem solar PV sebagai satu opsyen kepada pengguna untuk mengawal bil elektrik mereka,” katanya.


Nik Nazmi berkata, bagi menggalakkan lagi pemasangan sistem solar PV terutamanya pada struktur bumbung premis bangunan, kerajaan juga telah melakukan ketetapan untuk melonggarkan syarat di bawah Program Net Energy Metering (NEM) dan Program Self-Consumption for Solar PV Installation (SelCo).


“Antaranya had kapasiti setiap rumah bagi permohonan NEM Rakyat dilonggarkan, berbanding had 4kW untuk pemasangan 1 fasa dan 10kW untuk pemasangan 3 fasa dan pengguna boleh melakukan pemasangan sistem solar berdasarkan kriteria

teknikal yang ditetapkan.


“Selain itu had kapasiti sistem solar PV yang dibenarkan di bawah Program NEM NOVA dan Program SelCo ditingkatkan daripada 75 peratus kepada 85 peratus,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page