Tarik balik rayuan penggunaan Allah, kembalikan kuasa TYT lantik Pesuruhjaya Kehakiman - EwonTarik balik rayuan penggunaan Allah, kembalikan kuasa TYT lantik Pesuruhjaya Kehakiman - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tarik balik rayuan penggunaan Allah, kembalikan kuasa TYT lantik Pesuruhjaya Kehakiman - Ewon



6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menggesa Kerajaan Negeri agar mendesak Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 berhubung penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut agama bukan Islam.


Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 memutuskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut agama Kristian adalah tidak rasional dan tidak sah serta penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dalam upacara doa mereka.


Keputusan tersebut dibuat oleh Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin yang bertindak sebagai Hakim Mahkamah Tinggi selepas 13 tahun kes perundangan ini di antara Kerajaan dengan Jill Ireland, seorang penganut agama Kristian dari Sarawak.


Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan telah mengemukakan rayuan ke atas keputusan penghakiman tersebut.


“Mendahului ucapan Hari Krismas, saya berdoa dan berharap Kerajaan Negeri dapat mendesak Kerajaan Persekutuan hari ini agar menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 10 Mac 2021 yang telah memutuskan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah dalam upacara doa di kalangan penganut agama bukan Islam sejak tahun 1986 adalah sesuatu yang tidak berperlembagaan.


“Semoga jaminan hak beragama penganut agama bukan Islam di Malaysia terus terpelihara bermula di Sabah,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berucap membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di DUN pada hari ini.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) turut menggesa Kerajaan Negeri agar mendesak Kerajaan Persekutuan minda Perkara 112AB Perlembagaan Persekutuan agar kuasa dikembalikan semula kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Sabah dan Sarawak untuk melantik Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.


“Saya tidak pasti kenapa pimpinan Sabah pada tahun 1994 boleh bersetuju dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang menyebabkan TYT kita kehilangan kuasa tersebut yang dipegang sejak penubuhan Malaysia.


“Sebagai generasi muda pimpinan Sabah, kita mahukan kuasa ini dikembalikan kepada TYT Sabah sesuai dengan aspirasi Perjanjian Malaysia dan seterusnya agar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak dapat diberikan belanjawan sendiri antara lainnya bagi melaksanakan program mahkamah bergerak dan inisiatif seumpamanya,” kata Ewon.


Sidang DUN Sabah berlangsung sehingga Khamis ini bagi membahaskan Belanjawan Sabah 2022 yang telah dibentangkan oleh Ketua Menteri pada Jumaat minggu lepas.

bottom of page