Tarik pelaburan asing secara langsung ke taman perindustrian Sabah untuk tingkatkan ekonomi - DonaldTarik pelaburan asing secara langsung ke taman perindustrian Sabah untuk tingkatkan ekonomi - Donald
top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Tarik pelaburan asing secara langsung ke taman perindustrian Sabah untuk tingkatkan ekonomi - Donald


13 Okt 2021

Oleh Ilona Andrew


KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Donald Mojuntin mencadangkan langkah untuk mempertingkatkan ekonomi Sabah dengan menarik lebih banyak pelaburan asing secara langsung (FDI) ke taman-taman perindustrian yang sudah pun wujud di negeri itu, seperti POIC Lahad Datu di pantai timur dan Sipitang Oil & Gas Park (SOGIP) di pantai barat Sabah.


Beliau berkata, untuk POIC Lahad Datu, ia mempunyai pelbagai potensi yang bukan sahaja boleh dijadikan sebagai pemangkin kepada pengindustrian negeri Sabah, malah juga sebagai ‘Rotterdam of the East’.


Jelasnya, POIC Lahad Datu yang ditubuhkan pada Januari 2005 itu wujud sebagai Kompleks Perindustrian Berintegrasi yang mempunyai keluasan tanah 4,400 ekar serta pelabuhan dengan tiga terminal. iaitu ‘Liquid Bulk Terminal’, ‘Dry Bulk Terminal’ dan ‘Container Terminal’, serta satu "Barge Berth”.


Tambahnya lagi, pelabuhan ini bukah sahaja terletak dalam kawasan air dalam yang semula jadi, ia juga berada dalam lorong perkapalan yang sangat strategik iaitu Selat Lombok-Makassar.


Lokasi geografinya juga sangat strategik iaitu di tengah-tengah rantau Kawasan Pembangunan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) dan berdekatan dengan Balikpapan iaitu lokasi ibu negara baru akan datang negara Indonesia, ujarnya.


“Walau demikian, masih ada kekangan-kekangan untuk merealisasikan potensi penuh POIC Lahad Datu ini. Hingga hari ini, daerah Lahad Datu masih mempunyai masalah bekalan air.


“Kini, pengeluaran air terawat secara keseluruhan Lahad Datu adalah 70 juta liter sehari (MLD). Keperluan seluruh daerah tersebut adalah 126 MLD. Ini bermakna kekurangan bekalan air terawat sebanyak 56 MLD.


“Dalam usaha mengatasi masalah ini, Kerajaan Sabah telah mula membina Loji Rawatan Air Segama yang dijangka hanya akan siap pada tahun 2024 dengan kapasiti pengeluaran 130 MLD. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, keperluan air terawat akan bertambah lagi akibat pertumbuhan penduduk dan pelabur-pelabur di POIC,” katanya.

Senator Datuk Donald Mojuntin

Beliau berkata demikian dalam ucapan perbahasannya semasa Sidang Dewan Rakyat, hari ini.


Menurut Donald yang juga Timbalan Presiden UPKO, masalah bekaları elektrik yang tidak stabil di Pantai Timur Sabah juga merupakan satu kekangan untuk merealisasikan potensi penuh POIC Lahad Datu.


Justeru, beliau menzahirkan harapan agar Kerajaan Pusat akan mempercepatkan penyiapan ‘Southern Link Grid’ bagi mengatasi masalah ini.

“Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang atau Sabah Oil & Gas Industrial Park (SOGIP) juga mempunyai potensi yang cerah untuk menjadi sebagai pusat aktiviti hiliran minyak & gas dan petrokimia di rantau Asia Pasifik.


“Saya sedia maklum bahawa Kerajaan Sabah telah menyediakan dana di bawah halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk membangun SOGIP, akan tetapi bantuan daripada Kerajaan Pusat masih diperlukan untuk mengatasi beberapa cabaran dan masalah infrastruktur.


“Dalam ini juga, saya amat berharap pihak Petronas akan bersikap adil kepada Sabah dan akan memberi kerjasama yang baik, mampan serta wajar dalam pembangunan SOGIP ini. Ini termasuklah syarat-syarat yang tidak membebankan dalam pembekalan ‘feedstock’ yang akan diperlukan oleh pelabur-pelabur di SOGIP. Sumber minyak dan gas Sabah telah membantu Petronas untuk menjadi satu badan korporat gergasi di dunia. Bantulah Sabah kembali.”


Dalam pada itu, Donald turut cadangkan agar Kerajaan Pusat mengisytiharkan Sabah sebagai wilayah yang termiskin dengan tahap pembangunan yang terendah.


Dengan pengisytiharan demikian, beliau menyatakan bahawa satu sistem pengecualian cukai dalam beberapa perkara dapat dilaksanakan sebagai insentif tambahan kepada pelabur-pelabur asing untuk bertapak di Sabah.

bottom of page