top of page
Wartawan Nabalu News

Tarikh peperiksaan SPM perlu diubah: Madius



21 November 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau menyeru Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) supaya melihat semula sekali gus mengubah tarikh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 yang diumumkan pada 17 November lalu.


Beliau berkata, ini kerana penyediaan jadual itu membelakangi prinsip-prinsip Rukun Negara dan tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.


“Menurut jadual yang dikeluarkan KPM, peperiksaan SPM akan bermula pada 3 Mac sehingga 20 Mac 2022. Apa yang menarik perhatian saya, terdapat mata pelajaran yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad.


“Hari Jumaat merupakan hari bagi penganut agama Islam menunaikan sembahyang Jumaat. Manakala, hari Ahad merupakan hari bagi umat-umat Kristian pergi ke gereja dan terdapat juga agama Kristian seperti Seventh-Day Adventist (SDA) yang pergi ke gereja pada Sabtu.


“Justeru, jadual peperiksaan SPM yang disediakan KPM dengan nyata dan jelas melanggar kandungan pertama dan paling utama Prinsip Rukun Negara iaitu Prinsip Kepercayaan kepada Tuhan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Madius berkata, sebagai sebuah negara yang berpaksikan prinsip Rukun Negara sebagai tiang seri Perlembagaan, seharusnya perkara ini tidak berlaku.


Beliau berkata, jadual peperiksaan sepatutnya tidak jatuh pada tarikh-tarikh dimana warga Malaysia menunaikan kewajiban terhadap kerpercayaan masing-masing.


Sehubungan itu beliau mendesak mendesak kerajaan agar membatalkan dan meminda tarikh-tarikh peperiksaan SPM khususnya yang jatuh pada hari Jumaat dan Ahad (termasuk Sabtu) ke satu tarikh yang tidak berkaitan untuk mana-mana Warganegara Malaysia menunaikan kewajiban mengikut kepercayaan masing-masing.


“Jika tidak, ia bukan sahaja melanggar prinsip Rukun Negara yang selama ini kita sanjung tinggi, malah ia juga umpama menconteng arang terhadap Perdana Menteri Dato Seri Ismail Sabri kerana penyediaan jadual ini juga bertentangan dengan gagasan Keluarga Malaysia yang diperkenalkan beliau


“Selain itu, perubahan tarikh jadual peperiksaan juga perlu diselaraskan semula atas keprihatinan terhadap kebajikan para guru seperti mana yang dinyatakan oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).


“Pihak KPM sepatutnya mempunyai empati terhadap guru-guru yang sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik dalam mendidik pelajar sekolah. Berilah mereka ruang untuk berehat pada hujung minggu,” katanya.


Comments


bottom of page