Taska wajib pamer nombor pendaftaran di premis tahun depan - Nancy
8 Disember 2024
KUCHING : Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajib memaparkan nombor pendaftaran di premis masing-masing, berkuat kuasa 1 Januari tahun hadapan bagi memberikan keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska yang menempatkan anak-anak mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu diambil kerana kementeriannya sering menerima persoalan daripada ibubapa berhubung taska tidak berdaftar dan bagaimana cara mengenal pasti jika mereka tidak pernah memohon lesen daripada JKM.
“Mulai sekarang, semua taska diwajibkan menampal nombor pendaftaran di dinding premis supaya ibu bapa tahu taska tersebut berdaftar,” katanya dalam sesi sembang santai sempena Malam Media Sarawak, malam tadi, lapor Bernama.
Beliau berkata inisiatif itu merupakan antara agenda utama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi 2025.
Nancy berkata agenda lain bagi tahun seterusnya termasuk menggerakkan inisiatif Bantuan Yuran Pembelajaran Anak Autisme serta pembangunan Pusat Perkhidmatan Autisme, masing-masing diperuntukkan RM15 juta dan RM5 juta.
“Perdana Menteri telah mengumumkan perkara ini dalam Belanjawan 2025. Ia merupakan inisiatif baharu untuk menjaga kebajikan anak autisme dengan pendekatan lebih fokus melalui intervensi awal, tanpa meletakkan mereka bersama anak-anak bukan autisme,” katanya.
Comments