top of page

Tatakelola baik mampu tingkatkan mutu perkhidmatan awam – Cuepacs

  • nabalunews
  • Aug 14, 2024
  • 2 min read

14 Ogos 2024


KUALA LUMPUR: Amalan tatakelola yang berkesan dalam kalangan penjawat awam adalah kunci utama dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan awam, memastikan ia beroperasi dengan adil, telus, dan bertanggungjawab kepada rakyat.


Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Dr. Adnan Mat, menegaskan bahawa usaha berterusan untuk memperkukuh tatakelola ini juga mampu mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan dan institusi awam.


Menyokong penuh saranan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar, yang menekankan pentingnya penjawat awam mengutamakan konsep tatakelola yang baik, Adnan berkata, "Kepercayaan daripada rakyat dan pelabur luar akan datang dengan sendirinya sekiranya kita mengamalkan tatakelola yang baik dalam perkhidmatan awam. Semua pihak sedar bahawa salah laku sering kali menghambat keberkesanan dalam perkhidmatan awam sekali gus menjadikan penggunaan sumber tidak efektif dan keputusan tidak adil."


Jelas beliau dengan mengurangkan amalan yang tidak baik dan memperkukuh tatakelola, perkhidmatan awam dapat berfungsi dengan lebih cekap serta memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat.


"Negara yang mempunyai perkhidmatan awam yang baik dari segi tatakelola juga cenderung menarik lebih banyak pelaburan dalam jangka panjang, baik dari dalam mahupun luar negara. Sudah tentu apa yang ditekankan oleh KSN disambut baik oleh Cuepacs terutama mengenai pemerkasaan tatakelola dalam kalangan penjawat awam," katanya, menurut laporan Bernama.


Sehubungan itu, Cuepacs menyeru semua penjawat awam untuk bersama-sama dengan KSN dalam usaha meningkatkan tatakelola dalam perkhidmatan awam.


Mengenai pengumuman penting berhubung Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang dijangka dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat ini, Adnan berkata pihaknya berharap agar satu pencerahan terperinci dapat dibentangkan pada hari tersebut.


“Setelah 12 tahun kita menanti, maka 16 Ogos ini apa yang kita harap ialah perincian oleh Perdana Menteri dalam pengumuman nanti. Pada hari itu, harapan kami supaya ada bentuk pencerahan (terperinci mengenai) kumpulan-kumpulan yang akan mendapat kenaikan gaji (serta peratusan kenaikannya).”


“Apabila Perdana Menteri begitu prihatin kepada kebajikan penjawat awam, sudah tentu produktiviti perlu dipertingkatkan seiring dengan kenaikan gaji. Cuepacs telah menekankan kepada ahli kami dan seluruh penjawat awam untuk terus kekal memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan negara.”

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page