top of page
nabalunews

Tawaran pengurangan kompaun letak kereta DBKK mulai 16 Oktober



8 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan menganjurkan Bulan Pengampunan menerusi Program ‘Jom Bayar Kompaun’ sebagai sebahagian daripada pelancaran aplikasi Sabah Smart Parking, yang dijadualkan bermula pada 16 Oktober ini.


Menurut kenyataan oleh Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr. Sabin Samitah, program ini akan berlangsung sehingga 31 Oktober dan menawarkan diskaun khas kepada pengguna untuk bayaran kompaun letak kereta DBKK.


Program ini dilihat sebagai satu langkah proaktif DBKK untuk menggalakkan orang ramai menyelesaikan kompaun tertunggak mereka, selain mempromosikan penggunaan aplikasi Sabah Smart Parking.


Aplikasi ini direka untuk memberikan kemudahan kepada pengguna dalam menguruskan pembayaran letak kereta di bandar raya Kota Kinabalu dengan lebih cekap dan mudah.


Diskaun pengurangan kompaun ini dijangka akan menarik minat ramai, khususnya mereka yang memiliki kompaun tertunggak, untuk membuat pembayaran dengan segera sepanjang tempoh promosi ini.


Ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan pemantauan dan pematuhan peraturan letak kereta di kawasan bandar raya.


Dr. Sabin berkata diskaun khas ini membabitkan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Peruntukan Tempat-Tempat Letak Kereta Awam) (Letak Kereta Berkupon) Bandaraya Kota Kinabalu, 2014.


“Dalam Program Pengampunan ini, DBKK akan memberi tawaran pengurangan bayaran kompaun yang mana pengguna hanya perlu membayar kompaun mengikut kadar asal tawaran kompaun sahaja.


“Tawaran ini hanya terbuka kepada pengguna yang telah memuat naik (download) aplikasi Sabah Smart Parking sahaja. Oleh demikian, tawaran pengurangan bayaran kadar kompaun akan diberikan melalui pembayaran dalam aplikasi Sabah Smart Parking,” katanya.


Beliau berkata, pembayaran juga boleh dibuat melalui kaunter yang disediakan dengan pengguna perlu menunjukkan bukti telah memuat turun aplikasi tersebut kepada kakitangan bertugas.


Jelasnya, tawaran pengampunan itu tidak terpakai kepada pengguna yang membuat pembayaran secara dalam talian melalui dbkk.eservice.


“Sehubungan itu, adalah disarankan agar orang ramai khususnya warga bandar raya Kota Kinabalu supaya mula memuat turun aplikasi Sabah Smart Parking di telefon mudah alih masing-masing.


“DBKK bersama DBKK Holdings Sdn Bhd juga akan membuka kaunter perkhidmatan untuk kemudahan pengguna yang ingin membuat semakan dan pembayaran kompaun,” katanya


Sebanyak 18 lokasi kaunter perkhidmatan disediakan di sekitar bandar raya untuk kemudahan orang ramai membuat semakan kompaun.


Lokasi terbabit ialah Kaunter Ibu pejabat DBKK; Kaunter DBKK di Tingkat 7, Centre Point Sabah; Kaunter DBKK Holdings – Car Parks Management Division di Tingkat 1, KK Plaza; Kaunter DBKK Holdings, Tingkat 6, Bangunan UTC; Kaunter DBKK Holdings, Dewan Serbaguna Damai.


Selain itu, semakan juga boleh dibuat di Kaunter DBKK Holdings di Kiosk (Pondok) Parkir di Jalan Gaya, Bandar Baru Inanam, Damai Fasa IV, Lido, Lintas Plaza, Sadong Jaya, Likas Kingfisher Plaza dan Kepayan Market 88.


Orang ramai juga boleh membuat semakan di kaunter bergerak di kawasan Gaya North, Kampung Air, Foh Sang, Inanam Business Centre dan Likas Plaza / Plaza Juta.


Kaunter semakan dan pembayaran untuk kompaun kesalahan lalu lintas DBKK pula boleh dibuat di Kaunter Ibu pejabat DBKK; Tingkat 7, Centre Point Sabah; Tingkat 6, Bangunan UTC dan Dewan Serbaguna Damai.


Sehubungan itu, Sabin memberi peringatan kepada warga bandar raya agar mengambil peluang terhadap tawaran pengampunan berkenaan.


“Selepas berakhirnya tempoh program ini, DBKK akan mengambil tindakan lebih tegas kepada orang ramai yang masih ingkar dan mempunyai jumlah tunggakan kompaun yang tinggi.


“DBKK tidak akan menerima sebarang permohonan rayuan untuk pengurangan pada masa akan datang,” katanya.


Maklumat lanjut mengenai program itu boleh diperolehi dengan menghubungi DBKK Holdings Sdn Bhd di Bahagian Pengurusan Tempat Letak Kereta melalui talian 088-270181/182 / 012-7690181 atau Jabatan Penguatkuasa DBKK di talian 088-521800.

Commentaires


bottom of page