TCRF promosikan keunikan produk pelancongan di pedalaman Sabah

23 Julai 2024
Oleh Wartawan Nabalu
KENINGAU : Penganjuran Festival Banjaran Crocker atau The Crocker Range Festival (TCRF) secara tahunan sejak 2015 menjadi landasan terbaik untuk daerah Keningau mempromosikan produk pelancongan bercirikan keunikan budaya dan kepelbagaian etnik di kawasan pedalaman Sabah.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, festival selama tiga hari dan dua malam ini yang berkonsepkan karnival, mengetengahkan keunikan setempat dan bertujuan meningkatkan lagi taraf sosioekonomi rakyat menerusi pemerkasaan pembangunan pelancongan yang dapat memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat setempat khususnya di daerah Keningau.
Festival empat hari bermula Sabtu lalu itu menarik kehadiran lebih 10,000 pengunjung dari dalam dan luar negara
sepanjang program itu berlangsung.
Jeffrey berkata program ini yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan
(NGO) bertujuan untuk menarik kedatangan lebih ramai pengunjung luar termasuk pelancong asing ke daerah ini.
Di samping itu katanya, penganjuran festival ini juga merupakan salah satu inisiatif bagi membangunkan semula ekonomi pelbagai sektor di daerah ini, khususnya kepada pengusaha industri kecil dan sederhana yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.
"Selain itu, penganjuran festival ini juga bertujuan memberi peluang kepada pengusaha baru seperti penjual kraftangan, makanan dan minuman, produk tempatan dan pelbagai lagi untuk membuat jualan secara terbuka kepada pengunjung-pengunjung ke daerah ini" katanya semasa berucap merasmikan The Crocker Range Festival Season 7 tahun 2024 di Dataran Keningau pada Sabtu.
Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah berkata, jika dilihat pada penganjuran TCRF yang lalu, purata kehadiran pengunjung dianggarkan melebihi 10,000 orang sepanjang program berlangsung.
"Jika penganjuran pada kali ini juga mencapai sasaran pengunjung seperti pada penganjuran yang lalu, sudah pastinya ianya akan memberikan impak positif kepada pertumbuhan ekonomi daerah ini dan semua pihak yang terlibat," katanya.
Pelbagai program diadakan sempena festival ini, antaranya pertandingan manangon (bercerita), pertandingan membuat kraftangan, pertandingan rampaian tradisional Melayu, silap mata, tarian etnik kreatif Sabah, bengkel alat-alat muzik tradisional Sabah serta perarakan dan persembahan etnik budaya Sabah.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kerja Raya yang juga ADUN Bingkor Datuk Robert Tawik dan Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil.
Comments