top of page

TEKUN Nasional akan perkenal skim pembiayaan khas usahawan TVET

  • Wartawan Nabalu News
  • 4 hours ago
  • 2 min read

19 Mei 2025


TUARAN: TEKUN Nasional, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi bakal melancarkan skim pembiayaan mikro khas untuk graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, skim pembiayaan itu akan memberikan peluang kepada graduan TVET dari pelbagai institusi pendidikan untuk mendapatkan modal perniagaan, khususnya mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan berasaskan kemahiran.


“Skim pembiayaan usahawan TVET ini kita akan lancarkan sempena Hari TVET Negara di Melaka, pada Jun depan.


“Mudah-mudahan dengan adanya skim ini, ia membuka peluang yang lebih luas kepada para graduan TVET mendapatkan modal untuk memulakan perniagaan sekiranya mereka memilih sektor keusahawan.


“Ini adalah antara usaha kementerian menyokong agenda besar negara untuk membangunkan bukan hanya graduan, tetapi juga kerjaya dan keusahawanan dalam bidang TVET,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Kursus Kemahiran Kerjaya Dalam Industri Minyak dan Gas di ESTC Tuaran, di sini, hari ini


Ewon berkata, bajet permulaan sebanyak RM30 juta telah diperuntukkan untuk program ini dan jumlah itu boleh ditambah berdasarkan keperluan dan sambutan orang ramai.


“Skim ini akan menawarkan pembiayaan kepada graduan TVET dari seluruh negara, termasuk dari Sabah seperti di ESTC Academy, kolej vokasional atau institusi latihan lain,” katanya.


Ewon berkata, TEKUN Nasional terus komited memperkasa ekonomi negara dengan memperluaskan sokongan kepada peserta TVET.


“Sebagai agensi di bawah KUSKOP, TEKUN Nasional memahami peranan penting golongan TVET dalam membina tenaga kerja mahir dan memperkasa sektor keusahawanan negara serta melengkapkan salah satu rukun Malaysia Madani iaitu Kesejahteraan.


“Oleh itu saya mengalu-alukan lebih ramai peserta TVET mengambil peluang ini dan bersama-sama memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi melalui keusahawanan berasaskan kemahiran,” katanya.


Setakat Mei 2025, seramai 306 peserta TVET menerima manfaat pembiayaan daripada TEKUN Nasional, meliputi pelbagai sektor seperti bengkel motosikal dan kereta, pendawaian elektrik, kimpalan dan pertukangan besi, perkhidmatan mekanikal dan bengkel baikpulih elektronik.

Yorumlar


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page