Tekun Nasional anjur Mini Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong sokong usahawan tempatan
- Wartawan Nabalu News
- 7 hours ago
- 1 min read

22 Jun 2025
PENAMPANG: TEKUN Nasional terus komited memperkasa pembangunan ekonomi komuniti tempatan menerusi penganjuran Mini Karnival TEKUN MADANI, di Tamu Desa Inobong, di sini, hari ini.
Program ini merupakan inisiatif bersama TEKUN Nasional dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan kerjasama Pejabat Parlimen Penampang.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, Mini Karnival ini bukan sahaja menjadi wadah kepada usahawan tempatan untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka, malah ia juga memperkukuh semangat kekitaan dan memperingati budaya melalui sambutan Kaamatan,” kata.
“Inisiatif seperti Mini Karnival TEKUN MADANI bukan sekadar platform niaga, malah mencerminkan usaha menyeluruh Kerajaan dalam memperkukuh jaringan sokongan kepada usahawan tempatan, khususnya di kawasan luar bandar.
“Ini sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menjunjung prinsip keterangkuman dan keadilan ekonomi”, katanya ketika berucap merasmikan Karnival Tekun MADANI Tamu Desa Inobong, di sini, hari ini.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga April 2025 TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 598,969 usahawan bernilai RM10.31 billion di seluruh negara.
Ewon berkata, bagi Negeri Sabah, TEKUN Nasional telah menyalurkan RM1.18 billion kepada 65,939 usahawan bagi tempoh yang sama.
Mengenai program itu, beliau berkata, pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang program sehari itu diadakan, termasuk reruai pameran agensi KUSKOP, Pertandingan Sugandoi dan Cabutan Bertuah.
“TEKUN Nasional terus komited untuk menyokong pembangunan usahawan mikro, terutama di kawasan luar bandar dan komuniti B40 selaras dengan aspirasi Kerajaan Madani untuk menjadikan ekonomi negara lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Comentarios