top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun Nasional salur bantuan lebih 30,000 usahawan informal, mikro seluruh negara - Ewon


21 Januari 2024


PENAMPANG: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyasarkan untuk menyalurkan bantuan kepada kira-kira 33,300 usahawan informal dan mikro di seluruh negara pada tahun ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata bantuan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM600 juta.


Beliau berkata Belanjawan 2024 kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM330 juta kepada TEKUN Nasional bagi membantu usahawan informal dan mikro dalam perniagaan masing-masing.


Ini bermakna TEKUN Nasional akan menggunakan peruntukan dalaman sebanyak RM270 juta," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pejabat Cawangan TEKUN Nasional Penampang di sini pada Sabtu.

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata di Sabah pula menyasarkan jumlah peruntukan sebanyak RM84.5 juta kepada 4,393 orang usahawan informal dan mikro.


Beliau berkata sehingga kini TEKUN Nasional berjaya membuat kutipan bayaran balik sebanyak RM7.27 bilion dan jumlah itu kemudian telah dipinjamkan semula sebagai pembiayaan kepada usahawan.


"Ia menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan yang TEKUN keluarkan sebanyak RM9.1 bilion berbanding peruntukan yang disediakan sebanyak RM4.6 bilion," katanya.


Ewon berkata melalui Skim Pembiayaan Kontrak-i yang diwujudkan pada 2015 sehingga kini, TEKUN telah menyalurkan sebanyak RM1.66 bilion kepada 14,787 usahawan kontraktor Bumiputera di seluruh negara.

"Di Sabah seramai 3,262 usahawan kontraktor Bumiputera telah mendapat pembiayaan berjumlah RM383.6 juta bagi tempoh yang sama," katanya sambil menambah Sabah merupakan negeri tertinggi menyalurkan pembiayaan TEKUN kepada usahawan kontraktor.


Sementara di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT) yang dilancarkan pada Mac tahun lepas, TEKUN Nasional berjaya menyalurkan RM4.6 juta kepada 1,052 usahawan Pasar Tamu. - Bernama

ความคิดเห็น


bottom of page