TEKUN Nasional salur RM215.4 juta pembiayaan kepada 10,720 usahawan setakat Mac: Ewon
- Wartawan Nabalu News
- 1 day ago
- 2 min read

16 Mei 2025
KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, TEKUN Nasional menyalurkan pembiayaan berjumlah RM215.4 juta kepada 10,720 usahawan di seluruh negara setakat Mac ini.
Beliau berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM24.6 juta disalurkan kepada 638 usahawan di Sabah.
“Pembiayaan ini bukan sahaja membantu usahawan mengembangkan perniagaan malah turut mencipta peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival TEKUN Madani Kota Belud sempena Pesta Kaamatan 2025, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Khairul Dzaimee, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Abdullah Sani Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional Datuk Adam Abdul Ghani, pengurusan tertinggi TEKUN, ketua-ketua agensi di bawah KUSKOP serta para pemimpin setempat.
Ewon berkata, sejak TEKUN Nasional ditubuhkan pada tahun 1998 sehingga Mac 2025, agensi itu telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.28 bilion kepada 598,517 usahawan di seluruh negara.
“Manakala bagi Sabah pula, dalam tempoh yang sama, sebanyak RM1.18 bilion telah disalurkan kepada 65,880 usahawan,” katanya.
Beliau berkata, TEKUN Nasional adalah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) yang menyediakan pembiayaan mikro kepada usahawan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS).
“Sepanjang tempoh penubuhannya sehingga kini, TEKUN telah membuktikan peranan dan tanggungjawabnya untuk membangunkan usahawan kecil atau usahawan mikro di seluruh negara.
“Seiring dengan masa, TEKUN Nasional kini tidak hanya menyediakan kemudahan modal perniagaan semata-mata sebaliknya turut menyediakan peluang perniagaan, khidmat bimbingan dan sokongan serta jaringan usahawan,” katanya.
Mengenai Karnival ini Ewon berkata, ia bertujuan menghimpun usahawan TEKUN bagi membolehkan mereka bekerjasama serta mewujudkan jaringan perniagaan di antara mereka serta mempromosi dan meluaskan akses pasaran melalui gabungan pelbagai strategi pemasaran dalam satu program.
“Di karnival ini juga, ia menghimpunkan agensi-agensi kerajaan terutama agensi KUSKOP di peringkat negeri dan pusat bagi memberi kemudahan kepada usahawan setempat mendapat penerangan dan bantuan yang mereka perlukan.
“Selain daripada itu, TEKUN juga mengadakan ‘pocket talk’ bersama agensi serta sesi perkongsian bersama usahawan,” katanya.
Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan replika cek bernilai RM125,000 pembiayaan TEKUN Nasional yang telah disalurkan kepada 12 usahawan di kawasan Kota Belud.
Comments