top of page

TEKUN Nasional salur RM816 juta pembiayaan kepada lebih 30,000 Usahawan

  • nabalunews
  • Oct 3
  • 2 min read

ree

3 Oktober 2025


KOTA BELUD: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi agensinya TEKUN Nasional menyalurkan sejumlah RM816 juta pembiayaan kepada lebih 30,000 usahawan dari Jan hingga September tahun ini, di seluruh negara.


Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, daripada jumlah itu, RM95 juta telah disalurkan kepada 4,150 usahawan di Sabah, manakala bagi daerah Kota Belud sahaja, sebanyak RM9.1 juta pembiayaan telah disalurkan kepada 287 usahawan dalam tempoh yang sama tahun ini.


“Saya bangga kerana Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), yang saya perkenalkan pada tahun 2023 khusus untuk usahawan tamu di Sabah dan Sarawak, mencatatkan prestasi amat memberangsangkan.

ree

“Skim ini mencatatkan kadar bayaran balik pinjaman yang sangat cemerlang dengan kadar non-performing loan (NPL) hanya 0.5 peratus. Ini menunjukkan kebertanggungjawaban usahawan kita dalam mengurus pembiayaan dengan baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penutupan Taklimat Pembiayaan Keusahawanan oleh TEKUN Nasional dan agensi-agensi KUSKOP bagi kawasan Taginambur, di Dewan Gopog, di sini, hari ini.


Ewon berkata, KUSKOP melalui TEKUN Nasional akan terus memperkukuh sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara, khususnya di Sabah dan teristimewa di Kadamaian dan Penampang.

ree

“Saya telah mengemukakan kepada Kementerian Kewangan keperluan dan cadangan supaya program-program khusus untuk masyarakat dan usahawan di Sabah dan Sarawak dapat diteruskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13),” katanya.


Terdahulu itu, ketika berucap, Ewon berkata sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta industri mikro memainkan peranan penting sebagai tunjang kepada pembangunan ekonomi negara.


“Usahawan bukan sahaja menjana pendapatan untuk diri dan keluarga, tetapi turut membuka peluang pekerjaan serta menggerakkan ekonomi komuniti setempat.

ree

“Cabaran utama usahawan luar bandar seperti di Taginambur adalah akses kepada modal pembiayaan serta latihan keusahawanan yang komprehensif, dan peranan TEKUN Nasional amat penting dalam mengatasi jurang itu.


“Oleh itu, program seumpama ini menjadi platform terbaik untuk penduduk memahami secara mendalam mengenai pelbagai skim pembiayaan yang ditawarkan, termasuk Skim Pembiayaan Informal & Mikro (SPIM) dan SPUT,” katanya.

ree

Turut hadir, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai EKsekutif TEKUN Nasional Dato' Adam Abdul Ghani dan pegawai-pegawai kanan TEKUN Nasional.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page