top of page

TEKUN Nasional Terus Komited Perkasa Usahawan

  • nabalunews
  • 17 minutes ago
  • 2 min read

16 Mei 2025


KOTA BELUD: TEKUN Nasional terus komited dalam usaha memperkasa usahawan tempatan menerusi pelbagai inisiatif pembiayaan yang inklusif dan menyeluruh sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan ekonomi rakyat.


Pengerusinya, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, TEKUN Nasional telah memainkan peranan signifikan sejak 26 tahun lalu dalam merangsang pembangunan keusahawanan di negara ini.


“Sejak penubuhannya pada tahun 1998 hingga Mac 2025, agensi ini telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM10.28 bilion kepada 598,517 usahawan di seluruh negara.

"Bagi negeri Sabah sahaja, sebanyak RM1.18 bilion telah disalurkan kepada 65,880 usahawan,” katanya ketika berucap pada Karnival TEKUN Madani Kota Belud sempena Pesta Kaamatan 2025, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.


Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.


Abdullah berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan sebanyak RM215.41 juta kepada 10,720 usahawan di seluruh negara.


Katanya, pendekatan TEKUN Nasional dalam memperluaskan produk pembiayaan memberi lebih banyak pilihan kepada usahawan mikro untuk memulakan perniagaan dengan modal kecil serta membina jaringan kerjasama perniagaan sesama peserta.


"Bagi tahun 2025 kerajaan telah memperuntukkan dana sebanyak RM330 juta bagi program pembiayaan kepada usahawan Bumiputera, India serta mereka yang terlibat dalam ekonomi gig melalui program Mobilepreneur.


“Walaupun tiada peruntukan diumumkan khusus untuk usahawan wanita, usahawan online dan veteran angkatan tentera dalam Belanjawan 2025, TEKUN tetap komited meneruskan skim seperti SPOT, TAMU, KRAF dan SPBT sebagai sub-produk skim TEKUN Niaga,” katanya.


Selain itu, Abdullah turut menekankan keperluan melahirkan usahawan yang berdaya tahan dan mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.


"Usahawan perlu mempelbagaikan kemahiran dalam pengurusan perniagaan termasuk pengetahuan keusahawanan serta menjalinkan kerjasama dengan agensi kerajaan.


"Ia terutamanya melalui agensi yang membolehkan usahawan memanfaatkan teknologi terkini, meluaskan rantaian perniagaan dan mengukuhkan kekuatan kewangan," katanya.


Sementara itu, katanya, Karnival TEKUN Madani merupakan satu platform yang bukan sahaja membuka ruang promosi dan pemasaran produk usahawan mikro, tetapi juga menyediakan informasi perniagaan dan pembiayaan kepada masyarakat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page