TEKUN salur RM1.2 bilion kepada usahawan Sabah sejak 1998: Ewon
- nabalunews
- Aug 7
- 2 min read

7 Ogos 2025
KENINGAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata TEKUN Nasional, menyalurkan sebanyak RM1.2 bilion kepada 66,350 usahawan di Sabah sejak penubuhannya pada 1998 sehingga kini.
Beliau berkata, dalam tempoh yang sama, sebanyak RM52 juta telah disalurkan kepada 2,821 usahawan TEKUN bagi kawasan Parlimen Keningau.
“Bagi tahun 2025 sahaja, sejumlah RM55 juta telah disalurkan kepada 1,108 usahawan di Sabah, manakala di Parlimen Keningau, sebanyak RM3.5 juta telah disalurkan kepada 237 usahawan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Asas Keusahawanan Keningau di Hotel Juta, di sini hari ini.
Ewon berkata, sehingga 31 Julai 2025, TEKUN Nasional berjaya menganjurkan 1,059 siri seminar asas keusahawanan di seluruh negara, melibatkan penyertaan seramai 315,184 usahawan.

Katanya lagi, sektor keusahawanan merupakan nadi utama pembangunan ekonomi negara, bukan sahaja dalam penciptaan peluang pekerjaan, malah dalam meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Namun, tidak semua individu mempunyai pengetahuan dan kemahiran keusahawanan yang mencukupi, terutama di peringkat permulaan. Justeru, seminar seperti ini amat penting untuk memberi panduan, ilmu serta sokongan rangkaian kepada bakal usahawan,” katanya.
Ewon berharap seminar keusahawanan ini akan menjadi platform penjana inspirasi dan transformasi, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan khususnya di Sabah.
“Saya amat berbangga dan berterima kasih atas usaha TEKUN Nasional dalam membangunkan usahawan selama ini. Pencapaian ini membuktikan TEKUN Nasional amat relevan dan menjadi pilihan akses pembiayaan di kalangan usahawan informal dan mikro di negara ini.

“Saya juga berharap Seminar Asas Keusahawanan ini akan memberi manfaat kepada semua dan dapat mencetuskan semangat keusahawanan seterusnya menjadi titik permulaan kepada lebih ramai usahawan berjaya di seluruh negara,” katanya.
Ewon berkata, Kerajaan MADANI komited merangsang penyertaan lebih besar PMKS dalam sektor keusahawanan melalui pelbagai inisiatif, termasuk dana pembiayaan dan pembangunan kapasiti, selaras dengan matlamat Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030) untuk meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus menjelang 2030.

Beliau berkata PMKS menyumbang sebanyak RM613.1 bilion atau 39.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2023, selain mencipta 7.86 juta peluang pekerjaan, bersamaan 48.5 peratus daripada jumlah guna tenaga.
“Ini jelas menunjukkan PMKS adalah pemacu pertumbuhan ekonomi negara, seperti mana yang kita lihat di negara-negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Jerman di mana PMKS menyumbang lebih 50 peratus kepada KDNK,” katanya.
Comments