Tekun salur RM6.6 juta pembiayaan kepada usahawan orang asal sejak 2008
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tekun salur RM6.6 juta pembiayaan kepada usahawan orang asal sejak 2008



19 Ogos 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


SLIM RIVER: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional telah menyalurkan sejumlah RM6.6 juta pembiayaan kepada usahawan Orang Asal seluruh negara sejak 2008.


Beliau berkata, Skim Pembiayaan Orang Asal itu telah memberi manfaat kepada 635 usahawan.


"Melalui skim itu, Tekun Nasional telah menyalurkan sebanyak RM502,000 kepada 26 usahawan mikro tahun ini, tidak termasuk pembiayaan daripada Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Suruhanjaya Koperasi Malaysis (SKM) dan agensi-agensi lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Asal dan Karnival Usahawan dan Koperasi Orang Asal Perak anjuran bersama KUSKOP dan Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di sini hari ini. 


Ewon berkata kerajaan akan terus menyalurkan bantuan modal perniagaan kepada golongan Orang Asli negara ini yang berpotensi dalam perniagaan. 


“Mana-mana permohonan yang dianggap berpotensi dan menepati syarat akan segera diluluskan,” katanya.


Mengenai program itu, Ewon berkata program yang diadakan di Kampung Orang Asli Ulu Rasau itu adalah platform kepada usahawan dan koperasi Orang Asli mempromosikan produk mereka serta inisiatif kementerian dan agensi di bawahnya menyalurkan informasi kepada golongan itu sekali gus memberi peluang latihan, perniagaan dan penyampaian maklumat. 


“Saya berharap penglibatan agensi kementerian kita dapat mengangkat martabat dan penglibatan masyarakat orang asli dalam gerakan koperasi dan gerakan keusahawanan.


“Kita mengadakan program ini dengan kerjasama Persatuan Orang Asli kerana kita ingin melihat lebih ramai usahawan orang asli mendapat manfaat daripada skim-skim pembiayaan kerajaan,” katanya.


Program itu yang dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Orang Asli Perak secara tidak langsung meningkatkan pengetahuan golongan itu berkaitan koperasi. 


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sejumlah RM292,000 pembiayaan Tekun kepada 14 usahawan Orang Asli dan RM30,000 sumbangan daripada IKMa kepada Persatuan Orang Asli Perak.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page