TEKUN  sasar RM84.5 juta bantu 4,400 usahawan informal, mikro di Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

TEKUN  sasar RM84.5 juta bantu 4,400 usahawan informal, mikro di Sabah

Ewon menandatangani plak simbolik perasmian Pejabat Tekun Cawangan Penampang.

20 Januari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: TEKUN Nasional mensasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM84.5 juta kepada 4,400 usahawan informal dan mikro di Sabah, tahun ini.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi usahawan di negeri ini.

Beliau berkata, pembiayaan RM84.5 juta itu termasuk RM2.5 juta yang disasarkan kepada 500 usahawan yang berniaga di Pasar Tamu’.


“Saya berharap dengan pembukaan cawangan TEKUN Cawangan Penampang akan melebarkan perkhidmatan TEKUN kepada usahawan-usahawan di daerah ini.


“TEKUN juga akan membuka pejabat cawangan di daerah ataupun kawasan Parlimen Kimanis pada tahun ini sebagai usaha berterusan kita membantu usahawan-usahawan di negara ini untuk terlibat dalam gerakan keusahawanan dan mendapat perkhidmatan terbaik daripada TEKUN melalui program-program pembiayaan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Penampang, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, secara keseluruhannya TEKUN mempunyai pejabat fizikal berjumlah 24 pejabat di Sabah.


“Saya pasti pembukaan pejabat TEKUN di Penampang akan memudahkan para usahawan dan merancakkan lagi aktiviti ekonomi. Usahawan tidak perlu bersusah payah ke Kota Kinabalu bagi sebarang urusan. Ia juga menjimatkan masa, tenaga dan wang ringgit.


“Ini merupakan inisiatif penambahbaikan dalam penyampaian perkhidmatan dan saya yakin pada tahun ini, TEKUN Nasional akan terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada masyarakat terutama usahawan informal dan mikro di seluruh negara”, katanya.


Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Disember 2023, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan perniagaan kepada 573,013 usahawan yang bernilai RM9.1 billion di seluruh negara.


Manakala bagi Sabah pula, TEKUN Nasional menyalurkan RM1.01 bilion kepada 62,398 usahawan bagi tempoh yang sama melalui 24 pejabat TEKUN Cawangan.


Ewon berkata, TEKUN Nasional akan terus komited dalam membantu usahawan informal dan mikro dalam menyediakan pembiayaan serta pembangunan usahawan.


Pada majlis itu Ewon menyampaikan skim pembiayaan Tekun sejumlah RM250,000 kepada sembilan orang usahawan yang mengusahakan pelbagai jenis perniagaan termasuk gerai makanan, agensi pelancongan, perkhidmatan jahitan dan jualan pakaian tudung.


Selain itu TEKUN turut menyampaikan sumbangan CSR kepada 50 murid sekolah rendah dari SK Moyog dan SK Kipovo.


Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad, Pengerusi TEKUN Nasional Dato’ Haji Abdullah Sani Abdul Hamid, Pengarah  Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tekun, Dato’ Adam Abd Ghani, Pengurus Tekun Sabah Hemin Osumping dan Pegawai Daerah Penampang Francis Chong.

bottom of page