top of page

TEKUN tawar 8 skim pembiayaan di Sabah, pembiayaan Kontrak-i tertinggi

  • Wartawan Nabalu News
  • 7 hours ago
  • 2 min read

3 Julai 2025


KOTA KINABALU: TEKUN Nasional Negeri Sabah menawarkan lapan skim pembiayaan kepada usahawan mikro dan kontraktor, termasuk Skim Pembiayaan Kontrak-i yang mencatat jumlah peruntukan tertinggi bagi tahun ini.


Skim pembiayaan itu termasuklah TEKUN Niaga, Skim Pembiayaan Usahawan Kraf, Skim Pembiayaan Online TEKUN, Skim Pembiayaan Usahawan TVET, Skim Teman TEKUN, Skim Pembiayaan Usahawan Tamu, Skim Kontrak-i dan SPUMI (Skim Pembiayaan Usahawan Muda India).


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata TEKUN Nasional adalah agensi di bawah kementeriannya yang menyediakan kemudahan pembiayaan mikro kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.


“Bagi tahun 2025 sahaja, Skim Pembiayaan Kontrak-i diperuntukkan sebanyak RM71.28 juta, menjadikannya skim tertinggi dari segi jumlah pembiayaan,” katanya.


Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat prestasi dan pencapaian TEKUN Nasional Negeri Sabah daripada Pengurus TEKUN Sabah, Hemin Osumping, di sini hari ini.


Ewon berkata, sejak tahun 2023, TEKUN telah memperkenalkan tiga skim baharu iaitu Skim Pembiayaan Usahawan Tamu (SPUT), Skim Pembiayaan Usahawan Kraf dan Skim Pembiayaan Usahawan TVET.


Bagi tahun ini, di bawah skim SPUT, sejumlah RM2.05 juta telah disalurkan kepada 408 usahawan dari Januari hingga Mei.


“Manakala Skim Usahawan Kraf pula, sebanyak RM228,000 telah disalurkan kepada 17 usahawan kraf setakat ini.


“Sementara itu, Skim TVET mencatatkan jumlah pembiayaan lebih tinggi iaitu RM1.07 juta kepada 36 pemohon, menunjukkan sambutan yang menggalakkan,” katanya.


Secara keseluruhan, bagi tempoh Januari hingga Mei 2025, TEKUN Nasional telah menyalurkan sebanyak RM43.71 juta kepada 2,213 usahawan di Sabah menerusi pelbagai skim pembiayaan.


Ewon berkata bagi Skim Usahawan Tamu (SPUT) yang diperkenalkan pada tahun 2023, TEKUN telah menyalurkan RM13.76 juta kepada 3,050 usahawan di Sabah dan Sarawak sehingga Mei tahun ini.


“Saya hargai inisiatif warga TEKUN yang telah banyak menggerakkan pembangunan keusahawanan melalui pembiayaan dan program bimbingan,” katanya.


Beliau turut mengalu-alukan lebih ramai usahawan mikro dan kecil untuk berhubung dengan pejabat-pejabat TEKUN di seluruh negara bagi mendapatkan maklumat dan akses kepada skim pembiayaan yang ditawarkan.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page