top of page
Wartawan Nabalu News

Temubual Khas Bersama Ewon





Temubual Khas Nabalu News Bersama YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia / Presiden UPKO / Ahli Parlimen Penampang / ADUN Kadamaian


28 Januari 2023 (Sabtu)


Nabalu News:

Terima kasih YB di atas kesudian meluangkan masa bersama kami di Nabalu News hari ini untuk sesi temubual khas ini. Kami juga ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada YB. Untuk makluman YB, kami akan memaparkan temubual ini di laman portal kami dan jika YB bersetuju, kami juga akan kongsikan dengan rakan-rakan media yang lain.


Datuk Ewon Benedick:

Terima kasih juga buat warga Nabalu News. Mudah-mudahan apa yang dikongsikan nanti dapat memberi manfaat kepada para pembaca.


Nabalu News:

Baik YB. Temubual ini menjurus kepada tugas YB sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia dan juga sebagai Wakil Rakyat di dua kawasan, iaitu di Parlimen Penampang dan DUN Kadamaian.


Dan baru-baru ini, YB juga mengambil-alih tugas sebagai Presiden UPKO. Kami berharap YB boleh berkongsi wawasan dengan tugas-tugas berat yang sedang dipikul ini.


Soalan pertama kami YB, bagaimana YB dapat merencanakan tugas-tugas ini, termasuklah komitmen masa dan perjalanan?


Datuk Ewon Benedick:

Saya akui tugas-tugas ini sememangnya sangat mencabar dan memerlukan komitmen yang sangat tinggi. Saya telah memilih untuk berkomitmen dalam bidang kepimpinan ini, maka saya perlu laksanakannya dengan sebaik-baiknya. Saya mahu dihakimi selepas penggal penuh bagi setiap tugas yang saya pikul ini. Biarlah hasil kerja, pelayanan dan perkhidmatan saya sepanjang penggal itu menjadi jawapannya tersendiri.


Nabalu News:

YB telah memikul tugas sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia sudah hampir dua bulan. Mungkin YB boleh kongsikan pengalaman awal memimpin kementerian ini?


Datuk Ewon Benedick:

Saya telah menerima panggilan daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau akan melantik saya ke Kabinet Persekutuan dan diletakkan di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Dalam menghargai mandat dan amanah Perdana Menteri tersebut, perkara awal saya lakukan ialah mengunjungi laman web kementerian ini dan agensi-agensi kementerian untuk mengetahui peranan dan bidang perkhidmatan di kementerian.


Sebelum ini, terdapat tiga orang menteri persekutuan dari Sabah yang dilantik memimpin kementerian koperasi tetapi belum pernah ada dari Sabah dilantik memimpin kementerian pembangunan usahawan.


Sebaik mengangkat sumpah jawatan menteri, saya terus mengadakan perjumpaan dengan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian, Dato Sri Suriani Dato Ahmad pada hari yang sama.

Saya sangat berterima kasih kerana KSU dan warga kementerian memberikan kerjasama yang sangat baik sekali sejak saya dilantik memimpin kementerian ini. Dalam tempoh sebulan lebih ini, saya telah melawat kesemua agensi dan diberikan taklimat, bersama-sama dengan Timbalan Menteri. Beberapa program kementerian di lapangan juga telah diadakan.


Nabalu News:

Pastinya YB telah meletakkan wawasan, sasaran ataupun mandat kepada kementerian. Boleh YB kongsikan mengenai ini?


Datuk Ewon Benedick:

Ya. Saya berkongsi wawasan dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai prinsip tata kelola. Amanat saya kepada warga kementerian dan juga sebagai ingatan sepanjang masa bagi diri sendiri dan pegawai-pegawai saya, kita haruslah melakukan perkara yang betul dengan cara yang betul. We must do the right things the right way.


Manakala dari segi fokus dan capaian perkhidmatan kepada rakyat, saya telah menyatakan 'tanpa mengurangkan fokus kementerian sedia ada, saya mahu fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak, dan daripada fokus tambahan tersebut perlu ada fokus istimewa kepada kawasan yang memberi mandat kepada saya iaitu Penampang dan Kadamaian'.


Dalam meletakkan fokus perkhidmatan ini, saya mengambil-kira pandangan dan penerimaan rakyat Sabah ke atas representasi dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan Persekutuan di mana sebagai satu daripada dua orang menteri penuh, kementerian saya harus mendepani ekspektasi rakyat Sabah terhadap perkhidmatan persekutuan di Sabah.


Nabalu News:

Sudah pastinya dalam merealisasikan fokus perkhidmatan tersebut,YB telah menggariskan pendekatan-pendekatan baharu di kementerian. Apakah pendekatan baharu yang ingin YB perkenalkan?


Datuk Ewon Benedick:

Selepas satu bulan di kementerian ini, saya ingin memperkenalkan dasar pintu terbuka melalui program sesi libat urus dan hari bertemu pelanggan. Sesi libat urus berkonsepkan "town hall session" di mana saya bersama-sama dengan pimpinan perkhidmatan awam kementerian dan agensi akan menganjurkan dialog awam berdasarkan kepada kluster-kluster perkhidmatan kementerian seperti pembiayaan, perlesenan dan penguatkuasaan, latihan dan bimbingan dan sebagainya.


Pelanggan kementerian adalah pengusaha mikro, kecil dan sederhana, persatuan berasaskan keusahawanan, dewan perniagaan, penjaja dan peniaga kecil. Maka saya memperuntukkan sehari penuh bertemu mereka setiap bulan di Putrajaya dan di Sabah untuk menyantuni isu-isu yang memerlukan perhatian dan tindakan kementerian.


Seterusnya saya ingin menubuhkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di peringkat daerah yang akan dipengerusikan oleh Pegawai Daerah sebagai satu platform pembangunan keusahawanan dan menjadi sumber maklumat kementerian bagi merumus dasar serta belanjawan yang lebih baik pada masa akan datang. Seterusnya saya percaya kepada perkongsian kisah kejayaan usahawan dan koperasi. Semakin banyak 'success story' dikongsikan melalui pelbagai platform media, maka saya percaya ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai orang melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan koperasi.


Nabalu News:

Perdana Menteri telah menyebut mengenai KPI atau Petunjuk Prestasi Utama kepada setiap menteri? Apakah KPI yang mahu dicapai oleh YB termasuklah dalam tempoh 100 hari pertama di kementerian.


Datuk Ewon Benedick:

Seperti saya katakan di awal temubual tadi bahawa saya mahu dihakimi sepenuhnya selepas penggal penuh saya di kementerian, iaitu lima tahun. Bagaimanapun kita juga bekerja keras untuk memberikan kepimpinan terbaik seawal tempoh 100 hari yang pertama. Pada tahun ini, kementerian mensasarkan sebanyak 185 projek dan program pembangunan usahawan, koperasi, penjaja dan peniaga kecil. Saya gembira kerana pelaksanaan projek ataupun program ini telah dimulakan di Sabah sesuai dengan fokus kita.


Saya juga akan berkunjung hormat kepada pimpinan kerajaan-kerajaan negeri yang seterusnya untuk memulakan pelaksanaan projek kita di seluruh negara. Kejayaan pelaksanaan KPI ini juga bergantung kepada pembolehubah lain seperti belanjawan pembangunan. Kementerian telah mengemukakan syor-syor belanjawan pembangunan mengambilkira fokus tambahan kita di Sabah dan Sarawak kepada Kementerian Kewangan. Bulan hadapan, belanjawan pembangunan negara akan dibentangkan di Parlimen.


Nabalu News:

Apakah cabaran besar yang YB boleh lihat dalam memimpin kementerian ini?


Datuk Ewon Benedick:

Cabaran terbesar yang saya boleh lihat adalah proses pemulihan ekonomi dan aktiviti perniagaan PMKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana). PMKS sebenarnya memberi sumbangan besar kepada ekonomi negara kerana ia menyumbang kepada 47% pekerjaan rakyat Malaysia. Tetapi selepas pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, kesemua PMKS ini berhadapan dengan cabaran memulihkan operasi perniagaan mereka.


Pada bulan November tahun 2022 yang lepas, kementerian telah mengadakan kaji selidik di kalangan PMKS dan terdapat 2.7°% terpaksa menutup syarikat atau operasi perniagaan, manakala yang lain masih memerlukan 'intervensi' ataupun bantuan kerajaan untuk memulihkan operasi perniagaan mereka. Saya kira inilah cabaran yang terbesar sekali.


Saya juga melihat cabaran yang dihadapi oleh penjaja dan peniaga kecil samada yang berniaga dalam kawasan perkadaran mahupun di luar perkadaran PBT, isu berkenaan lesen, penguatkuasaan peraturan perniagaan, kemudahan ruang niaga, akses kepada skim pembiayaan dan persaingan sesama penjaja. Saya mahu mengambil leadership untuk golongan penjaja dan peniaga kecil. Itu sebabnya kita bercadang mengujudkan Majlis Pembangunan Usahawan, Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil di peringkat daerah.


Selain itu, di Sabah misalnya, capaian internet masih merupakan isu yang besar sedangkan kementerian melaksanakan inisiatif besar ke arah pendigitalan keusahawanan dan aktiviti perniagaan.


Nabalu News:

YB ada mengatakan tadi fokus istimewa untuk kawasan yang diwakili iaitu Penampang dan Kadamaian. Apakah rancangan YB di kementerian untuk kedua-dua kawasan ini?


Datuk Ewon Benedick:

Betul. Sudah semestinya kedua-dua kawasan ini begitu istimewa kerana rakyat di kawasan ini memberi mandat kepada saya. Setiap kali saya melawat kawasan, masuk ke kampung-kampung dan berjumpa dengan rakyat, saya ditanya apa kementerian boleh bantu untuk kawasan?

Bagi kawasan DUN Kadamaian, saya akan dipandu oleh Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 iaitu satu aspirasi pembangunan jangka panjang rakyat Kadamaian yang telah saya sediakan melalui kajian enam bulan oleh Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) sebaik sahaja menjadi ADUN Kadamaian pada tahun 2018.

Manakala bagi kawasan parlimen Penampang, saya telah meminta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) untuk membangunkan Pelan Pembangunan Keusahawanan Penampang berdasarkan kepada aspirasi menjadikan daerah ini sebagai hub keusahawanan berasaskan digital, agro pelancongan, perusahaan sosial dan pembangunan tamu penjaja.


Nabalu News:

Bagaimana YB dapat membahagikan masa sebagai Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Kadamaian serta pada masa yang sama perlu berulang-alik ke Putrajaya sebagai menteri?


Datuk Ewon Benedick:

Saya tahu cabaran ini sangat besar dan rakyat sedang memerhatikan saya. Tetapi saya sedang dan akan terus bekerja keras menjalankan amanah sebagai Wakil Rakyat Penampang dan Kadamaian. Dalam hampir dua bulan ini, saya telah seimbangkan program akar umbi saya di Penampang dan Kadamaian.


Ini termasuk mengambil leadership terus ke atas isu-isu rakyat di kawasan terutama Penampang sebab saya baharu mendapat mandat di sini. Perkhidmatan saya dan leadership saya ke atas isu-isu dilaporkan oleh media dan menjadi pengetahuab umum. Manakala, setiap kali balik ke Putrajaya, saya sentiasa membawa aspirasi rakyat di kedua-dua kawasan ini untuk ditangani dengan sebaiknya. Ini termasuklah berunding dan berbincang dengan Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan rakan-rakan menteri lain mengenai keperluan pembangunan di Penampang dan Kadamaian.


Di sidang DUN pula, penglibatan saya dalam perbahasan dan sesi soal jawab ke atas isu-isu yang saya bangkitkan juga menjadi pengetahuan umum. Kehadiran dan penglibatan saya jelas. Saya juga antara ADUN yang paling banyak mengemukakan soalan-soalan bertulis terutama berkaitan dengan Kadamaian dan maklum balas yang saya terima boleh dikongsikan dengan rakyat.


Nabalu News:

YB kini juga menjadi Presiden UPKO, yang kedua termuda selepas parti MUDA yang diterajui oleh Presidennya YB Syed Saddiq. Bagaimana YB melihat peranan baharu ini dalam konteks kepimpinan orang muda?


Datuk Ewon Benedick:

Saya perlu buktikan yang orang muda dari kampung juga boleh memimpin negara kita. Kepimpinan, pada saya, tidak ada had umurnya, dan bukan soal muda atau dewasa, tetapi soal komitmen dan niat.

Di dalam UPKO, saya bermula seawal usia 22 tahun semasa menubuhkan Pergerakan Komulakan atau Generasi-Muda. Seterusnya belajar dan ambil ikhtibar daripada setiap perjalanan kepimpinan selama ini.


Saya juga terinspirasi dengan kejayaan banyak orang, terutama di kalangan anak-anak muda yang telah berjaya dalam bidang masing-masing. Mudah-mudahan saya juga telah dapat mencetuskan inspirasi kepada rakan-rakan anak muda yang lain untuk mengambil bahagian secara serius dengan niat yang betul dalam bidang kepimpinan atau berjaya dalam bidang pilihan masing-masing.


Nabalu News:

Presiden UPKO sebelum ini, Tan Sri Bernard Dompok dikenali dengan pendekatan 'principle-centred leadership', manakala Presiden UPKO selepas itu Datuk Seri Madius pula memperkenalkan pendekatan 'servanthood leadership'. Sebagai Presiden UPKO yang ketiga masa ini, adakah YB ingin memperkenalkan pendekatan baharu kepimpinan seperti mereka?


Datuk Ewon Benedick:

Kedua-dua pendekatan kepimpinan oleh Tan Sri Bernard Dompok dan Datuk Seri Madius Tangau tersebut adalah inti kepimpinan yang harus ada pada semua pemimpin. Saya juga akan teruskan pendekatan yang sama. Cuma sebagai seseorang yang dikenali sebagai anak kampung, saya mahu membawa pendekatan kepimpinan yang asas dan mudah kerana saya percaya dengan kerendahan hati, keasasan perkhidmatan dan pelayanan, rakyat boleh menilai samada kita boleh menjadi pemimpin mereka atau sebaliknya. Itulah sebabnya saya bercakap mengenai 'common sense leadership'.


Dalam kita memimpin dan membuat apa-apa keputusan, kita dengar, kita lihat, kita rasai nadi rakyat dan letak diri kita di tempat mereka, kita timbang tara, kita luah dan kongsi, kita insafi dan ambil teladan, barulah kita buat keputusan. Saya percaya proses itu akan memastikan keputusan yang dibuat akan kekal lama. Saya juga percaya bahawa setiap keputusan haruslah dapat dipertahankan, realistik tapi progresif. Kita tidak perlu letak ekspektasi terlalu besar, tetapi tangani isu dengan proses yang betul berasaskan kepada prinsip. Inilah pendekatan kepimpinan saya, bukan hanya sebagai Presiden UPKO tetapi juga sebagai menteri dan wakil rakyat.


Nabalu News:

Adakah YB akan memperkenalkan muka-muka baharu dalam kepimpinan tertinggi UPKO terutamanya calon-calon pilihanraya akan datang?


Datuk Ewon Benedick:

Saya yakin kepada kesatuan kerjasama dan keharmonian perpaduan. Bererti saya menghargai gabungan kepimpinan dalam parti. Yang mengasas parti ini masih boleh memainkan peranan melalui Majlis Penasihat. Manakala gabungan kepimpinan sebelum ini dengan kepimpinan muka baharu harus terserlah di Majlis Tertinggi. Dalam masa yang sama, saya berharap anak-anak muda tampil berkepimpinan dalam UPKO sepertimana saya bermula dahulu melalui Pergerakan Komulakan.


Berkenaan calon pilihanraya pula, ianya terlalu awal. Tetapi yang saya boleh katakan, pemilihan haruslah mengambilkira merit dan potensi, terutama kecekalan bersama dalam parti.


Nabalu News:

Situasi politik negara agak 'complicated' atau unik kerana hubungan parti-parti politik di Kerajaan Persekutuan tidak sama dengan Kerajaan Negeri Sabah. Bagaimana YB dapat menangani situasi politik sebegini?


Datuk Ewon Benedick:

Perdana Menteri telah mengangkat sumpah melalui proses mandat yang betul dan kerajaannya telah dibentuk. Begitu juga di Sabah. Ketua Menteri telah mengangkat sumpah melalui proses mandat yang betul dan kerajaannya telah dibentuk. Pada saya, biarlah mandat kepimpinan Perdana Menteri, Ketua Menteri dan kerajaan masing-masing kekal sehingga penggal berakhir. Biarlah pertembungan politik hanya berlaku pada masa pilihanraya sahaja.


Manakala sepanjang penggal pemerintahan, biarlah berlaku proses semak dan imbang secara profesional. Sebagai Presiden UPKO, saya berharap rakan-rakan pimpinan dalam parti dan ahli-ahli parti boleh bersahabat dengan banyak pemimpin dan ahli-ahli parti lain terutama yang berkongsi aspirasi dan wawasan yang sama kerana pada akhirnya, kita mahu negara dan rakyat kita yang maju dan mendapat perkhidmatan terbaik daripada pemerintah atau kerajaan yang telah dibentuk.

Saya akui dinamik politik negara begitu cepat berlaku dan hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri mempunyai keunikan tersendiri. Saya tidak berhasrat mengulas lanjut situasi politik di Sabah sekarang ini tetapi cukuplah untuk saya mengatakan, saya harus menjadi teladan menghentikan budaya wakil rakyat katak.


Nabalu News:

Bagaimana pula dengan tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963? Adakah YB melihat ianya dapat direalisasikan oleh Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan hari ini?


Datuk Ewon Benedick:

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah menunjukkan komitmen dan keseriusannya dalam menjayakan Perjanjian Malaysia 1963. Ini antara yang terawal dibincangkan dalam Kabinet Persekutuan dan sudah beberapa kali dibincangkan. Saya sendiri mengambil bahagian dalam perbincangan kabinet setiap kali agenda MA63 dibangkitkan. Sebab itu Perdana Menteri telah mengumumkan keputusan-keputusan yang telah dibuat.


Saya sendiri memaklumkan kabinet mengenai tindakan Saman Pemula yang saya ambil bersama Ahli-Ahli Parlimen dan ADUN-ADUN Pakatan Harapan Sabah pada tahun lepas. Saya tidak bercadang menarik balik saman ini. Sebaliknya saya telah mencadangkan agar Perkara 112C&D Perlembagaan Persekutuan berkenaan hak 40% Sabah harus dimuktamadkan dan formula pemberian khas haruslah berasaskan kepada pungutan cukai persekutuan di Sabah. Pandangan saya direkodkan dengan baik dalam minit mesyuarat Kabinet Persekutuan.


Nabalu News:

Baiklah YB. Kami mengucapkan terima kasih di atas masa YB bersama-sama kami dalam sesi temubual ini. Mungkin YB ingin berkongsi kata-kata akhir kepada pembaca Nabalu News?


Datuk Ewom Benedick:

Terima kasih buat Nabalu News sudi menjemput saya.


Saya ambil ruang dan kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan dan rasa syukur saya kepada insan-insan tersayang dalam hidup saya, iaitu ibu dan isteri saya serta anak-anak dan ai keluarga. Merekalah yang begitu dekat dengan saya, menjadi sumber kekuatan saya, penyokong dan pengkritik saya selama ini. Mereka ada apabila saya memerlukan sokongan dan kasih.


Saya perlu menjadi idola dan ketua mereka yang baik. Sebab itu saya juga selalu menyebut mengenai kepimpinan seharusnya bermula dari rumah, leadership begin at home. Saya berharap sokongan dan motivasi insan-insan tersayang ini akan terus menjadi kekuatan saya, dan saya terus menjadi kekuatan mereka.


Nabalu News:

YB, sekali lagi kami ucapkan terima kasih di atas kesudian bersama kami.


Datuk Ewon Benedick:

Terima kasih juga dan salam hormat.


Comments


bottom of page