TENTERA DARAT PATAHKAN CUBAAN 24 PENDATANG HARAM INGIN BALIK KAMPUNG

24 Nov 2020
KALABAKAN: Trup tentera darat menahan seramai 24 pendatang haram warga Indonesia dalam Op Benteng di kawasan Serudong dekat sini, ketika cuba menyusup keluar untuk pulang ke negara asal mereka, Ahad, lepas.
Markas Divisyen Kelima Infrantri (5 Div) dalam satu kenyataan memaklumkan dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, seorang lelaki yang juga pemegang kad pemastautin tetap dan bekerja sebagai pemandu lori di sebuah ladang sawit dekat sini, turut ditahan.
Tangkapan pertama membabitkan enam pendatang haram yang menaiki sebuah lori dipandu lelaki berkenaan yang bekerja di ladang sawit berkenaan.
"Selang 15 minit, tangkapan kedua dilakukan membabitkan 16 lagi pendatang haram menaiki lori lain dan kemudian tangkapan ketiga membabitkan dua pendatang haram menaiki sebuah motosikal," menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan, siasatan awal mendapati kesemua 24 pendatang haram yang ditahan itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sah dan bekerja di sebuah ladang sawit yang sama di sini.
"Kesemua tahanan berserta barang rampasan termasuk 50 kilogram gula, motosikal dan lori dibawa ke Balai Polis Kalabakan untuk tindakan lanjut," katanya. - Bernama
Comments