Teraju Inisiatif AI Percuma
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

22 Ogos 2025
KOTA KINABALU: Landskap pendidikan teknologi kecerdasan buatan (AI) semakin dikuasai ramai apabila kursus yang diadakan secara percuma berjaya menarik penyertaan meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Inisiatif itu merupakan langkah strategik ke arah menjadikan AI sebagai alat pemerkasaan komuniti, selaras dengan aspirasi negeri untuk membina masa depan digital yang inklusif dan berteraskan identiti tempatan.
Kursus secara percuma yang dimulakan Ts. Gs. Mahadthir Asbollah, menjadikannya salah seorang tokoh yang dikenali atas kepimpinan dalam pembangunan komuniti dan inovasi teknologi.

Mahadthir berkata, peranannya penting dalam merangka visi serta pelaksanaan kursus tersebut dengan matlamat membuka akses pembelajaran AI kepada semua golongan, tanpa mengira latar belakang.
Katanya, ia turut disokong dan diperkukuh melalui kerjasama erat antara sektor korporat dan pendidikan, melibatkan Sedafiat Sdn Bhd, Kolej Eastern dan dua syarikat telekomunikasi RedONE serta TuneTalk.
“Gabungan kerjasama ini menyediakan sokongan teknikal, fasiliti pendidikan serta capaian digital bagi membentuk ekosistem pembelajaran yang menyeluruh.

“Kursus kali ini merangkumi pengenalan asas AI, aplikasi praktikal dalam kehidupan harian, serta penerokaan potensi teknologi tersebut dalam pembangunan komuniti dan perusahaan kecil,” katanya.
Mahadthir berkata, modul yang disusun secara interaktif dan mudah difahami menjadikannya sesuai untuk peserta dari pelbagai peringkat kemahiran.
“AI bukan sekadar teknologi canggih, ia adalah alat untuk memperkasa masyarakat. Dengan pendekatan yang inklusif dan berteraskan budaya tempatan, kita boleh membina masa depan digital yang lebih kondusif dan bermanfaat.

“Inisiatif ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak program teknologi percuma di Sabah, khususnya yang menggabungkan inovasi serta pembangunan lestari, demi memastikan rakyat negeri ini tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta yang ditemui, Marliyana Abd Mad berkata, dia berasa teruja selepas mengikuti sesi pembelajaran yang disusun secara interaktif dan mudah difahami.
Katanya, kursus itu memberikan keyakinan baharu untuk meneroka bidang teknologi, khususnya kecerdasan buatan yang sebelum ini dilihat agak sukar difahami oleh orang awam.

“Saya rasa lebih yakin untuk meneroka bidang teknologi selepas mengikuti kursus ini. Ia sangat mesra pengguna dan memberi inspirasi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peserta Nurzalilah Atifah Mashri dari Labuan berkata, kursus berkenaan membuka perspektif baharu mengenai peranan AI dalam membantu komuniti dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Kursus ini membuka mata saya tentang bagaimana AI boleh membantu komuniti kami. Terima kasih kepada penganjur atas peluang ini,” ujarnya sambil menzahirkan harapan agar lebih banyak program seumpamanya diperluaskan ke seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Comments