TERAJU perkasa pembangunan ekonomi Bumiputera Sabah
- nabalunews
- Apr 10
- 1 min read

10 April 2026
KOTA KINABALU: Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) Aspirasi Outreach terus memperkukuh pembangunan ekonomi Bumiputera di Sabah, khususnya dalam memperluas peluang penyertaan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata program itu signifikan kerana menyediakan ruang libat urus secara langsung antara kerajaan, agensi pelaksana, komuniti serta usahawan, selain berperanan sebagai platform yang menghubungkan dasar dengan pelaksanaan.
Menurutnya, peranan TERAJU sebagai pemudah cara amat penting dalam memastikan inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputera dapat dilaksanakan secara berkesan.

“Melalui platform ini, maklumat berkaitan inisiatif pembiayaan dan peluang pembangunan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh.
“Saya menyeru semua usahawan Bumiputera Sabah agar memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh keupayaan serta memperluas perniagaan ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di sini, pada Khamis.
Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata agenda pembangunan Bumiputera dilaksanakan secara tersusun dan berimpak melalui Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) sebagai penyelaras dasar merentasi kementerian, kerajaan negeri serta agensi.
Menurutnya, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) diperkenalkan sebagai kerangka utama untuk melonjakkan pembangunan sosioekonomi Bumiputera menerusi pendekatan yang lebih berfokus, tersasar dan berimpak tinggi.
"Yang lebih penting, pelaksanaan PuTERA35 memberi penekanan khusus kepada pembangunan Sabah dan Sarawak bagi memastikan keseimbangan wilayah dapat dicapai serta potensi ekonomi di Malaysia Timur dapat dimanfaatkan sepenuhnya," katanya ketika berucap pada majlis sama.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.















Comments