TH sedia RM210 juta bantu jemaah haji secara bersasar
- nabalunews
- 29 minutes ago
- 1 min read

12 April 2026
KOTA KINABALU: Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan sebanyak RM210 juta bagi tahun 2026 menerusi Bantuan Kewangan Haji (HAFIS) secara bersasar bagi meringankan beban jemaah haji Muassasah.
Ketua Syariah Kumpulan TH, Imran Mohammad Khayat berkat, melalui inisiatif itu jemaah dalam kumpulan B40 hanya perlu membayar RM15,000 atau kira-kira 45 peratus daripada kos sebenar menunaikan ibadah haji, manakala kumpulan M40 membayar RM23,500 atau sekitar 71 peratus.
"Secara keseluruhan TH telah memperuntukkan lebih RM2.72 bilion menerusi HAFIS sejak diperkenalkan pada 2001," katanya.

Belaiu berkata demikian ketika berucap pada Kursus Perdana Haji Musim Haji 1447H/2026M Peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat), di sini pada Sabtu.
Selain itu, beliau memaklumkan TH turut memperkenalkan inisiatif ‘Menuju Istito’ah’ yang memberi penekanan kepada persediaan menyeluruh sebelum menunaikan ibadah haji.
"Istito’ah merangkumi empat aspek utama iaitu kemampuan kewangan, kesihatan, keselamatan serta kuota atau kebenaran menunaikan haji.
“Melalui inisiatif ini, TH menggalakkan umat Islam membuat persediaan lebih awal melalui amalan menabung secara konsisten serta menjaga kesihatan diri," ujarnya.
Menurutnya, TH menggalakkan pendeposit membuat potongan gaji atau potongan berkala melalui kaedah debit terus bagi memudahkan simpanan.
Tambah beliau, TH turut menyediakan kalkulator simpanan haji di laman web rasminya bagi membantu pendeposit merancang simpanan dengan lebih teratur.
“Usaha ini penting bagi memastikan pendeposit mempunyai simpanan mencukupi apabila tiba giliran menunaikan haji selain menikmati manfaat seperti agihan keuntungan, pelunasan zakat, pematuhan syariah dan jaminan kerajaan,” katanya.
TH juga melaksanakan program ‘THoriq Ya Hajj’ yang menggalakkan bakal jemaah kekal aktif dan cergas melalui aktiviti berjalan kaki dengan pemantauan secara maya.















Comments