Thailand-Kemboja Digesa Segera Henti Pertempuran Di Sempadan
- nabalunews
- 22 minutes ago
- 2 min read

13 Disember 2025
KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan segala bentuk permusuhan dan tindakan ketenteraan berkuat kuasa 10 malam ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, gesaan itu disampaikan beliau menerusi panggilan telefon berasingan kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatannya dari Kemboja, Hun Manet.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut.
“Ia termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa 10 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7),” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
Menurut beliau, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Malaysia telah meminta penugasan Pasukan pemerhati ASEAN (AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan.
Anwar yang juga pengerusi ASEAN 2025 berkata, misi tersebut akan turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat, bermula pada waktu yang sama.
"Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada Selasa, 16 Disember.
"Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau," katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama memelihara keamanan di rantau ini.
Media sebelum ini melaporkan lebih 500,000 penduduk di Thailand dan Kemboja telah melarikan diri untuk mencari perlindungan sejak konflik sempadan itu meletus kembali awal minggu ini, mengatasi jumlah pemindahan mangsa semasa pertempuran serupa awal tahun ini.
Pada Oktober lalu bersempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur, Thailand dan Kemboja menamatkan pertikaian sempadan yang berlarutan selama beberapa dekad menerusi pemeteraian perjanjian damai dikenali sebagai KL Peace Accord atau Perjanjian Damai Kuala Lumpur.














