“The Wolf and The Butterfly” Talk Meningkatkan Kesedaran untuk penyakit Lupus
- nabalunews
- Aug 17, 2024
- 2 min read

16 Ogos 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
SANDAKAN : Menyedari kepentingan kesedaran dan pengecaman awal penyakit seribu muka iaitu Systemic Lupus Erythematosus (SLE) di Malaysia, Persatuan SLE Malaysia, Kumpulan Sokongan Sabah terus melaksanakan program kesedaran dan ceramah berkaitan SLE.
Terbaru, persatuan itu menganjurkan Ceramah Kesedaran Lupus bertemakan “Know Lupus” untuk 768 pelajar SMK
Konven St Cecilia, Sandakan yang berlangsung di dewan sekolah itu.
Ceramah bertajuk "The Wolf and The Butterfly," disampaikan oleh Dr. Anna Farazilah Mohd Salleh, seorang Pakar Rheumatologi, yang merangkumi topik penting seperti simptom, kesan dan pengurusan SLE.
Ceramah ini bagi mendidik peserta tentang Lupus dan menyokong mereka yang terjejas oleh penyakit itu.
Kesedaran dan pengecaman awal SLE ini penting kerana ia memberi kesan kepada golongan muda, termasuk remaja.
Dianggarkan 43 dalam setiap 100,000 orang menghidap penyakit ini, dengan pesakit paling muda direkodkan hanya berusia empat tahun.
Sementara itu, sambutan pelajar terhadap ceramah ini juga amat positif di mana mereka menunjukkan minat yang tinggi dalam topik yang dibincangkan, bertanya soalan yang bernas selain menyatakan pemahaman yang lebih mendalam tentang cabaran yang dihadapi oleh individu dengan SLE.
Penglibatan mereka menunjukkan kejayaan acara itu dalam meningkatkan kesedaran dan memupuk empati dalam
komuniti pelajar.
Puan Hon, wakil Persatuan menyatakan bahawa ceramah itu juga dianjurkan sempena Program Kesedaran Lupus Sabah 2024, bertemakan "Kenali Lupus" dan "Sebarkan Kesedaran Lupus".
Objektifnya untuk mendidik orang ramai meningkatkan kesedaran dan pemahaman tentang Lupus dalam komuniti sekaligus menghapuskan mitos mengenai penyakit itu dan memupuk sokongan kepada mereka yang terjejas akibat penyakit ini.
Persatuan SLE Malaysia adalah sebuah pertubuhan NGO yang telah ditubuhkan pada 1994 untuk menyediakan sokongan sosial dan psikologi kepada mereka yang menghidap SLE).
Di bawah naungannya, Kumpulan Sokongan Sandakan telah dilancarkan
pada Oktober 2004, yang telah digabungkan menjadi Persatuan SLE Malaysia, Kumpulan Sokongan Sabah pada Mei, 2013.
Sehingga kini, terdapat kira-kira 890 ahli di Sabah, termasuk pesakit dan bukan pesakit di seluruh Pantai Barat Sabah, Pedalaman, Pitas, Sandakan, Tawau, Lawas dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Bilangan pesakit dijangka meningkat
apabila lebih banyak kes didiagnosis atau yang salah didiagnosis.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang Lupus, orang ramai boleh menghubungi 012-8133338 atau layari www.lupusmalaysia.org atau ikuti kami di Facebook di Persatuan SLE Malaysia Sabah Chapter.
Pic captions















Comments