Tiada alasan projek pembangunan tertangguh akibat birokrasi, ketidakcekapan – Anwar
- nabalunews
- 18 minutes ago
- 1 min read

15 Mac 2026
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tidak seharusnya wujud sebarang alasan yang menyebabkan projek tertangguh akibat ketidakcekapan atau kerenah birokrasi.
Ia kerana, menurut beliau setiap kelewatan akan memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat, selain mengekang potensi kemajuan dan pembangunan negeri.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menggesa semua pihak untuk terus memberi tumpuan serta memantau secara rapi pelaksanaan setiap projek pembangunan yang telah diluluskan.
“Hal ini penting kerana rakyat menaruh harapan besar terhadap projek-projek yang memberi impak langsung kepada kehidupan seharian mereka.
“Ia termasuk usaha menaik taraf jalan serta kemudahan infrastruktur demi keselesaan dan kesejahteraan masyarakat,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Pembangunan Daerah Kota Kinabalu, di sini pada Ahad.
Mesyuarat yang berlangsung di Menara Kinabalu itu turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Masidi Manjun, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Sabin Samitah serta beberapa anggota Kabinet negeri.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan kekal fokus dalam memastikan setiap projek yang dirancang dilaksanakan dengan cekap, telus dan menepati jadual agar manfaatnya dapat segera dirasai oleh rakyat.











