top of page

Tiada alasan tangguh semakan hak 40 peratus Sabah – Ronald Kiandee

  • nabalunews
  • 13 minutes ago
  • 1 min read

7 April 2026


KOTA KINABALU: Tiada alasan untuk menangguhkan semakan hak 40 peratus Sabah seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi dan diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Beluran Datuk Seri Ronald Kiandee.


Sehubungan itu, beliau menegaskan proses semakan perlu diteruskan segera, secara serius dan dengan keikhlasan politik yang nyata.


“Perintah penangguhan tersebut sama sekali tidak menjejaskan kewajipan untuk melaksanakan semakan hak 40 peratus Sabah.


“Semakan ini adalah inti penting kepada tuntutan perlembagaan dan berdiri berasingan daripada isu pelaksanaan bayaran,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.


Mengulas lanjut, Ronald berkata perintah penangguhan oleh Mahkamah Rayuan adalah khusus terhadap pelaksanaan pembayaran hasil 40 peratus Sabah yang tertunggak.


Jelasnya, pembayaran itu yang melibatkan amaun besar serta mempunyai implikasi fiskal ketara kepada Kerajaan Persekutuan.


“Dalam hal ini, Sabah memahami realiti kewangan negara dan tidak pernah berniat menjejaskan kestabilan Malaysia sebagai sebuah Persekutuan,” katanya.


Beliau turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri supaya tampil dengan ketelusan penuh dalam menangani isu berkenaan.


Menurutnya, isu tersebut tidak boleh lagi diurus secara tertutup atau ditangguhkan, memandangkan ia melibatkan hak perlembagaan negeri Sabah.


“Rakyat Sabah berhak mengetahui perkembangan sebenar, termasuk perkara yang telah dipersetujui setakat ini, mekanisme semakan yang dipersetujui serta garis masa yang jelas ke hadapan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page