Tiada alasan wakil rakyat untuk tidak bantu rakyat – Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiada alasan wakil rakyat untuk tidak bantu rakyat – Ewon

15 November 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Calon Pakatan Harapan Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, seorang wakil rakyat yang benar-benar berjuang untuk rakyat tiada alasan untuk tidak membantu rakyat yang memerlukan bantuan.


Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, walaupun berada di luar kerajaan dari tahun 2020 sehingga kini, projek-projek kecil di kawasannya masih berjalan seperti biasa.


“Saya tidak pernah menjadikan alasan tiada peruntukan sebagai wakil rakyat pembangkang untuk tidak membantu penduduk kampung. Bak kata pepatah ‘di mana ada kemahuan di situ ada jalan’.


“Walaupun peruntukan yang saya bawa di Kadamaian tidak sebanyak peruntukan semasa dalam kerajaan sebelum ini namun kita sudah berusaha sedaya upaya untuk mencari jalan membantu rakyat.


“Ini adalah semangat juang untuk rakyat yang telah mengangkat kita menjadi wakil rakyat,” katanya ketika berucap pada program ceramah di Kampung Babagon dan Kg.Nampasan, di sini, malam tadi.


Ewon yang mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah berkata, ketika menerajui kementerian itu pada tahun 2018 sehingga 2020, empat program baharu beliau perkenalkan iaitu Program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Rumah Sejahtera Sabah (PPRT) dan Aktiviti Ekonomi Tambahan.


“Saya gembira kerana kesemua program baharu yang saya perkenalkan menjadi dasar kementerian dan diteruskan sehingga kini.


“Kampung ini juga amat bersejarah bagi saya kerana satu daripada program baharu yang saya pekenalkan iaitu Program BELB, saya dapat inspirasi daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilancarkan di sini.


“Saya mendapat inspirasi daripada inovasi yang Bani (Adrian Lasimbang) laksanakan di kampung ini. Selepas melancarkan program CSR itu saya balik ke KPLB dan berbincang dengan setiausaha tetap dan juga ketua-ketua seksyen untuk memperkenalkan program baharu iaitu BELB.


“Saya berharap sekiranya diberi ruang untuk memperkenalkan dasar-dasar baharu kerajaan untuk manfaat rakyat, kampung ini terus menjadi inspirasi saya,” katanya.


Beliau berkata sebab itu antara tawarannya untuk rakyat Penampang ialah memperbanyakkan sesi libat urus bersama rakyat dan progam turun padang untuk mengenalpasti keperluan dan menerima cadangan penyelesaian masalah daripada rakyat akar umbi.


Sehubungan itu katanya sokongan rakyat Penampang amat penting bagi memastikan Pakatan Harapan memperolehi kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seterusnya membentuk kerajaan baharu.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page