TIADA CAJ PARKIR DI BANDARAYA KK SEPANJANG PKPB

14 OKTOBER 2020
OLEH WARTAWAN NABALU NEWS
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengumumkan penggantungan sementara operasi tempat letak kereta di kawasan Bandaraya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mayor Bandaraya Datuk Nordin Siman berkata, penggantungan itu bermula 9 Oktober lalu hingga 26 Oktober ini.
“Ini bermakna tiada caj letak kereta dikenakan ke atas pengguna-pengguna sepanjang tempoh PKPB. Ia selaras dengan Undang-Undang Kecil tempat letak kereta di kawasan bandaraya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Bagaimanapun Nordin berkata, penguatkuasaan undang-undang masih diteruskan bagi kesalahan-kesalahan letak kereta seperti meletakkan kenderaan di bahu jalan, meletakkan kenderaan bukan di tempat yang dikhaskan dan kesalahan meletak kereta yang menghalang lalu lintas atau secara ‘double park’.
Katanya, penguatkuasaan itu bagi memastikan kenderaan dan aliran lalu lintas di kawasan bandaraya terus berjalan lancar.
Mengenai kompaun atas kesalahan letak kereta sebelum ini, ia boleh dibayar melalui perkhidmatan atas talian e-Services DBKK,” katanya.
Comments