TIADA KEPERLUAN PUSAT KUARANTIN DI PULAU OMADAL: MASIDI
- nabalunews
- Nov 2, 2020
- 1 min read

2 NOV 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Tiada keperluan untuk mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan di Pulau Omadal, Semporna, setakat ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.
Beliau berkata ini kerana, setakat ini penduduk Pulau Omadal yang telah disaring dan didapati positif Covid-19 dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Bubul Ria, Semporna.
“Manakala, penduduk yang dikuarantin kerana kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah.
“Sehubungan itu, tiada keperluan setakat ini untuk mengadakan Pusat Kuarantin dan Rawatan di Pulau Omadal, Semporna,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Mengenai bantuan bakul makanan di pulau itu, Masidi berkata, bantuan bakul makanan oleh Kerajaan Negeri diselaraskan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Semporna.
Sebelum ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan membincangkan keperluan mewujudkan pusat kuarantin baharu di kawasan Pulau Omadal, di Semporna.
Beliau berkata, ini kerana lokasi pulau itu yang terletak kira-kira 18 kilometer dari pekan Samporna dan hanya boleh diakses menggunakan bot.















Comments