Tiada keperluan tubuh jawatankuasa baharu tangani kenaikan harga barang
top of page
  • Farah Salim

Tiada keperluan tubuh jawatankuasa baharu tangani kenaikan harga barang


30 Jun 2022

Oleh Farah Salim


KUALA LUMPUR: Tidak ada keperluan menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi kerana sudah banyak jawatankuasa sedia ada yang boleh digunakan untuk tujuan itu.


Dapatan itu berdasarkan reaksi netizen berhubung penubuhan pasukan khas itu.


Rata-rata mereka berpendapat, Majlis Tindakan Ekonomi Negara, Majlis Pemulihan Negara dan Majlis Tindakan Pengguna Negara juga boleh digunakan untuk tujuan itu.


“Pasukan itu juga dianggotai oleh anggota kabinet sedia ada dan berjumpa setiap minggu dalam mesyuarat kabinet.


“Bagi pendapat saya, tidak perlu tubuhkan Pasukan Khas Jihad. Adalah lebih baik Kabinet yang dianggotai 32 menteri bermesyuarat setiap minggu, buat agenda tetap “kos sara hidup” sajalah untuk Kabinet,” kata netizen dalam Twitter.

Seorang lagi netizen menyatakan, Pasukan Khas Jihad itu tidak perlu kerana kerajaan sudah ada Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) sejak 2018 di bawah KPDNHEP.


“Kenapa (Datuk) Ismail Sabri perlu wujudkan satu jawatankuasa baru jihad inflasi apa kejadah tu? Suka sangat lah nak buat jawatankuasa baru. Guna lah medium sedia ada,” katanya melalui Twitter.


Sementara itu Pengerusi Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi akan menjadi satu lagi “sembang kedai kopi” jika Perdana Menteri tidak mengambil tanggungjawab mengetuainya sendiri bagi menekankan komitmen serius kerajaan menangani krisis kewangan teruk yang dihadapi rakyat negara ini.


“Apa gunanya menubuhkan satu lagi Jawatankuasa Khas Kabinet 6 orang menteri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Beliau mendakwa, ramai penganalisis berpendapat peningkatan kos buruh dan bahan serta kekurangan pekerja menyebabkan kegagalan besar kerajaan sekarang untuk memudahkan kemasukan pekerja tempatan.


“Perdana Menteri boleh membantu mengurangkan kos yang semakin meningkat dengan menyelesaikan masalah kekurangan tenaga kerja pekerja asing dengan menggunakan kuasanya,” katanya.


Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia dan dianggotai oleh Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Kewangan; Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Menteri Pertanian dan Industri Makanan; Dato' Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan Tan Sri Mohd. Zuki Ali, Ketua Setiausaha Negara.


Pada Rabu, Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju menubuhkan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, bagi membantu Keluarga Malaysia menghadapi cabaran peningkatan kos sara hidup.


Perdana Menteri berkata, pasukan khas ini berperanan untuk mengumpulkan semua maklumat daripada Kementerian, agensi dan orang ramai bagi merangka strategi serta mengkoordinasi tindakan menyelesaikan isu-isu berkaitan inflasi khususnya mengawal kenaikan harga barang dengan lebih efisien dan berkesan.


“Pasukan khas ini akan berfungsi sebagaimana pasukan menguruskan pandemik COVID-19, dengan mengadakan mesyuarat sebanyak dua kali seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis,” katanya.

bottom of page