Tiada lagi beg plastik bagi pembeli di Kota Kinabalu mulai Ogos
20 Jun 2024
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Penduduk Kota Kinabalu bakal menyaksikan satu perubahan besar dalam amalan harian mereka apabila beg plastik tidak lagi akan diberikan kepada pembeli bermula Ogos.
Langkah ini adalah sebahagian daripada fasa kelima kempen “Bawa Beg Bah” (3B) oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), yang bertujuan mengurangkan penggunaan beg plastik konvensional, kata Mayor Datuk Seri Dr Sabin Samitah.
Sabin menyatakan bahawa kempen 3B ini akan menggalakkan masyarakat untuk mengamalkan konsep “mengurangkan, mengguna semula dan mengitar semula” dengan membawa beg sendiri semasa membeli-belah.
“Kedai makan juga akan berhenti menyediakan beg plastik dan penyedut minuman,” ujarnya ketika penutupan kempen Hari Alam Sekitar Sedunia Peringkat Bandaraya 2024 di ibu pejabat DBKK pada Selasa.
Tambah beliau, pada masa ini, kedai dibenarkan menawarkan beg plastik kepada pelanggan hanya empat hari seminggu dalam fasa semasa kempen 3B.
“Dalam fasa akan datang, kami akan melanjutkan larangan ini ke seluruh minggu. Bagaimanapun, kempen itu tidak terpakai di pasar basah dan pasar ikan,” jelasnya.
Comments