top of page

Tiada Laluan Mudah Dalam Permohonan MyKAD, MyPR, MyKAS – JPN

  • nabalunews
  • Apr 8
  • 1 min read


8 April 2025


PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan permohonan dokumen pengenalan diri termasuk MyKAS, MyPR dan MyKAD tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang, peraturan dan dasar yang berkuat kuasa.


JPN dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, semua permohonan akan dinilai secara menyeluruh berdasarkan peruntukan mengikut Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.


Katanya, JPN tidak akan meluluskan permohonan secara sewenang-wenangnya, walaupun disertakan dengan surat sokongan dari mana-mana pihak.


“Sebarang surat sokongan atau minit cadangan dari mana-mana pihak, termasuk pemimpin politik, agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan tidak memberikan jaminan automatik terhadap kelulusan permohonan.


“Pertimbangan terhadap pandangan atau sokongan dari pihak berkepentingan boleh diambil kira, namun kelulusan tetap melalui proses tapisan dan verifikasi yang ketat,” katanya.


Kenyataan itu merujuk kepada dakwaan surat sokongan yang tular berhubung permohonan dokumen pengenalan diri bertarikh 26 April 2019.


Surat itu didakwa mengandungi sokongan bagi mengeluarkan dokumen pengenalan diri kepada seorang individu dari Sabah.


“MyKAS adalah dokumen pengenalan diri untuk Pemastautin Sementara yang diberikan kepada individu yang lahir di Malaysia tetapi status kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.


“Bagi pemegang MyKAS yang diluluskan secara bertempoh setiap lima tahun, mereka masih perlu berusaha mengesan asal-usul mereka, seperti yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.


Selain itu, katanya, pemegang MyKAS tidak memperoleh kelebihan kewarganegaraan, sebaliknya perlu memenuhi syarat-syarat ketat untuk memohon status MyPR dan seterusnya MyKAD.


“Jabatan ini sentiasa komited untuk memastikan tadbir urus yang telus dan profesional dalam urusan pengeluaran dokumen pengenalan diri.


“Orang ramai boleh mendapat maklumat lanjut dengan mengunjungi pejabat JPN atau melalui laman web rasmi serta saluran media sosial rasmi JPN,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page