TIADA PENJARAKAN FIZIKAL, TIDAK MEMAKAI PELITUP MUKA, EMPAT INDIVIDU DIKOMPAUN
- Wartawan Nabalu News
- Nov 8, 2020
- 1 min read

8 NOV 2020
PUTATAN: "Kami hanya makan sekejap saja," demikian alasan daripada tiga penjaga premis makanan yang dikenakan kompaun kerana tiada penjarakan fizikal dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak Covid-19 yang telah ditetapkan.
Kompaun telah dikeluarkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Mohd Haris Hj Ibrahim yang mengetuai Operasi Bersepadu Pemeriksaan Pemantauan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan di beberapa lokasi di Ketiau, di sini, tengah hari kelmarin.
Polis turut mengenakan kompaun kepada seorang lagi individu di lokasi berasingan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam.
"Acapkali pihak polis mengingatkan orang awam tentang SOP pencegahan wabak Covid-19 ini, namun masih terdapat segelintir pihak yang mengambil sambil lewa mengenai peraturan ini," kata beliau.
Beliau menambah, akibat daripada sikap 'acuh tak acuh' sesetengah masyarakat ini yang menyebabkan rantaian Covid-19 sukar untuk diputuskan.
"Nilai kompaun adalah sedikit berbanding nyawa yang terjejas akibat Covid-19, masyarakat perlu akur dan menerima bahawa kita hidup di dalam norma baharu," tegas beliau.
Kesemua individu tersebut masing-masing telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 di bawah Peraturan -Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.
Operasi yang mensasarkan beberapa kawasan tumpuan orang ramai di sekitar Putatan itu turut melibatkan Pasukan Pusat Kawalan Operasi (PKOB) Daerah Putatan.
Sumber: Facebook Polis Daerah Penampang















Comments