top of page

Tiada siapa akan dilindungi, terlepas dalam kes Zara Qairina - Fadhlina

  • nabalunews
  • 35m
  • 1 min read

25 Julai 2025


KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan tiada siapa akan dilindungi dan terlepas daripada tindakan undang-undang dalam kes kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir.


Menterinya Fadhlina Sidek berkata, tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan kepada hasil siasatan pihak polis kelak.


Justeru katanya, masyarakat dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkait kes berkenaan bagi memberi ruang kepada polis menjalankan tugas secara profesional, telus, menyeluruh dan berintegriti.


“Kes ini sedang berada dalam siasatan pihak Polis. KPM melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sentiasa memberi kerjasama penuh kepada proses siasatan yang sedang berjalan,” katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.


Fadhlina berkata, JPN Sabah komited untuk terus memastikan kesejahteraan keluarga, murid, guru dan warga sekolah terlibat terpelihara.


Menurutnya, ia dilakukan menerusi penyediaan bantuan segera termasuk aspek sokongan psikososial dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).


“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga diberi kesabaran dan ketabahan menghadapi ujian berat ini,” katanya.


Media sebelum ini melaporkan, Zara Qairina meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah di Papar pagi 17 Julai lalu.


Mangsa yang merupakan pelajar tingkatan satu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page