Tiada tindakan kerajaan, penduduk Kg.Sayap baiki sendiri kerosakan jalan

28 November 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA BELUD: Penduduk Kampung Sayap bergotong-royong membaiki kerosakan jalan raya kampung itu selepas tiada tindakan dan maklumbalas daripada kerajaan mengenai aduan mereka.
Pengerusi Persatuan Pelancongan Komuniti Sayap Dr.Rizoh Bosorong berkata, penduduk kampung telah memaklumkan kerosakan jalan raya itu kepada UPPM Kadamaian tetapi tiada tindakan.
Beliau berkata bagi mengelak kerosakan bertambah teruk dan untuk keselesaan semua pengguna jalan, penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri untuk membaikinya.
“Penduduk kampung melalui Persatuan Pemandu-Pemandu Kg.Sayap mengambil inisiatif membaiki sendiri jalan raya JKR di kawasan kampung yang rosak teruk, selepas tiada maklumbalas dari pihak JKR dan UPPM walaupun sudah beberapa kali aduan dibuat.
“Pihak syarikat konsesi yang bertanggungjawab membaiki kerosakan jalan tersebut juga tidak teliti melaksanakan tugas sebab hanya beberapa bahagian jalan sahaja yang dibaiki.

“Mereka tidak selenggara semua jalan yang rosak… hanya beberapa bahagian saja yang dibaiki. Selepas itu, tiada lagi pembaikan sehingga sekarang, walaupun sudah dimaklumkan mengenainya,” katanya kepada Nabalu News.
Rizoh berkata, keadaan jalan raya yang rosak merencatkan aktiviti pelancongan semenjak pengusaha eko pelancongan mulai membuka aktiviti di pusat pelancongan masing-masing pertengahan bulan ini.
“Penduduk kampung terpaksa ‘rukut-rukut’ sewa jentera untuk mengorek dan membaiki parit, menimbus tanah dan membeli batu kisar untuk ditabur atas jalan,” katanya.
Sementara itu, wakil Persatuan Pemandu-Pemandu Kampung Sayap Yabin Kudirong berkata, jalan raya yang teruk itu menyebabkan kerosakan pada kenderaan kecil.

“Ini juga menyukarkan para penduduk kampung terutama pengguna kenderaan kecil membawa hasil pertanian ke Tamu Kota Belud,” katanya.
Sehubungan itu beliau berharap agar jalan raya dibawah kendalian JKR yang rosak dapat dibaiki secepat mungkin.
“Guru-guru sekolah SK. Sayap menggunakan jalan tersebut setiap hari ke sekolah memandangkan sesi pembelajaran bersemuka sudah bermula sejak 22 Nov lalu,” katanya.
Opmerkingen