top of page

Tiada VVIP Masuk Bilik Bedah Siasat

  • nabalunews
  • 25 minutes ago
  • 1 min read

ree

11 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Peguam keluarga Zara Qairina Mahathir, Shahlan Jufri mengesahkan tiada mana-mana individu kenamaan (VVIP) yang dibenarkan memasuki bilik bedah siasat semasa proses pemeriksaan dijalankan.


Menurutnya, dakwaan liar yang tular di media sosial tidak benar kerana beliau sendiri berada di dalam bilik bedah siasat sepanjang proses berkenaan berjalan.


“Saya sahkan tiada VVIP masuk ke dalam bilik bedah siasat. Yang ada hanyalah wakil keluarga, doktor, dan pihak polis.


“VVIP memang tiada. Tiada unsur ‘tangan ghaib’ seperti yang diperkatakan di media sosial. Bedah siasat berjalan dengan telus. Jangan percaya kepada spekulasi di media sosial,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (QEH) semalam.


Shahlan berkata, beliau sendiri menyaksikan setiap prosedur yang dijalankan pasukan forensik dan pemeriksaan juga dibuat dengan penuh teliti.


“Setiap kecederaan dinilai satu persatu, malah saya juga dipanggil untuk diberi penjelasan sekiranya ada sesuatu penemuan,” jelasnya.


Sehubungan itu, Shahlan menasihati orang ramai agar tidak mempercayai laporan atau hantaran di media sosial yang membuat tuduhan berbentuk spekulasi, termasuk dakwaan berkaitan penggunaan mesin basuh.


“Bagaimana kita tidak mahu Zara difitnah kononnya begini dan begitu sehingga meninggal dunia, begitu juga kita tidak mahu memfitnah orang lain.


“Saya difahamkan suspek yang menyebarkan cerita tersebut telah ditangkap, malah ibu bapa yang gambar anak mereka turut disebarkan walaupun tidak terlibat, juga telah membuat laporan polis,” tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page