Tiga Batalion PGA Baharu Untuk Sabah dan Sarawak
- nabalunews
- 2 days ago
- 1 min read

18 Mei 2025
PAPAR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) terus memperkasakan keselamatan negara khususnya di Sabah dan Sarawak menerusi penubuhan dua batalion Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sabah dan satu batalion PGA di Sarawak.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahan tiga batalion itu akan menjadikan jumlah keseluruhan PGA kepada 23 batalion di seluruh negara.
“Penubuhan Batalion 21 di Keningau, Batalion 22 di Kunak dan Batalion 23 di Sri Aman, Sarawak hari ini menjadi bukti yang jelas komitmen berterusan PDRM untuk menjalankan tanggungjawab memastikan keamanan dan keselamatan negara terjamin.

"Tiga perkara penting boleh disimpulkan dalam signifikan acara hari ini termasuklah pertama mengesahkan tahap kesiapsiagaan pasukan untuk menghadapi cabaran atau ancaman keselamatan.
"Kedua memperkukuh kehadiran pasukan keselamatan di kawasan strategik, manakala ketiga membuktikan iltizam kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Batalion 21 PGA Keningau, Batalion 22 PGA Kunak dan Batalion 23 PGA Sri Aman di PGA Briged Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata menerusi Rancangan Malaysia Ke-12, sebanyak RM103 juta disalurkan kepada PGA bagi pembaikan infrastruktur, naik taraf pos dan perolehan aset termasuk menaik taraf penempatan sementara Batalion 21, Batalion 22 dan Batalion 23 PGA.
"Kementerian juga meluluskan peruntukan kerja penyelenggaraan dan perolehan peralatan melibatkan pos PGA di seluruh negara dengan kos RM45 juta pada 2023 dan RM43.5 juta pada 2024.

"Dana ini bagi menyediakan fasiliti dan prasarana yang lebih kondusif untuk kelancaran penugasan dan kesejahteraan kehidupan petugas barisan hadapan," Katanya.
Bình luận