top of page
nabalunews

Tiga cedera diserang memerang di taman rekreasi di Tanjung Aru

11 September 2024


KOTA KINABALU: Tiga individu termasuk 2 wanita dilaporkan cedera di tangan, kaki dan kepala akibat diserang sekumpulan memerang ketika melakukan aktiviti rekreasi di Tanjung Aru, kira-kira jam 6.30 pagi tadi.


Difahamkan ketika kejadian, seorang wanita sedang berjoging sebelum secara tiba-tiba dia diserang kira-kira 10 ekor memerang yang datang dari arah belakang.


Beberapa individu yang melihat kejadian itu segera membantu namun turut diserang dan dua lagi cedera.


Menurut saksi, ketika itu, seorang wanita digigit memerang dan empat individu lain datang membantu menghalau haiwan berkenaan.


Namun menurut saksi, dua daripada mereka turut diserang memerang itu sebelum berjaya dihalau.


Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu dengan menaiki ambulans untuk rawatan lanjut.


Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Roland Oliver Niun berkata, susulan aduan yang diterima, sepasukan anggotanya telah ke lokasi bagi menjalankan siasatan.


"Siasatan awal mendapati kumpulan memerang itu telah memasuki pusat rekreasi itu untuk mencari makanan di kolam di taman tersebut.


"Memang terdapat populasi memerang liar berhampiran taman dan kami juga melihat berlaku perubahan tingkah laku haiwan tersebut apabila orang awam memberi makan.


"Walaupun memerang secara umumnya tidak agresif, haiwan ini mungkin menjadi agresif jika diprovokasi atau jika makanan tidak diberikan," katanya seperti dilaporkan media.


Katanya JHL Sabah telah berhubung dengan pihak pengurusan taman tersebut dan menasihatkan mereka untuk membaiki pagar di kawasan tersebut bagi mengelakkan pencerobohan memerang pada masa akan datang.


"JHL juga turut meminta pengurusan taman melaporkan sebarang kelibat memerang selepas pembaikan pagar dibuat.


"Selain itu, kami mencadangkan agar pihak pengurusan memantau dengan teliti keadaan pagar dan memasang papan tanda untuk mengurangkan interaksi antara pengunjung dan memerang bagi mengelak kejadian sama berulang," katanya.


Roland juga turut berkata, pihak JHL Sabah sedang mempertimbangkan untuk memindahkan memerang tersebut walaupun ia sukar untuk dilaksanakan.


"Namun, orang awam juga dinasihatkan supaya tidak memberi makan atau memprovokasi mana-mana hidupan liar bagi mengelakkan interaksi dengan manusia dan mencegah perubahan tingkah laku haiwan yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini pada masa akan datang," katanya.

Comments


bottom of page