top of page

Tiga faktor penyasaran subsidi diesel belum dilaksana di Sabah, Sarawak - Armizan

  • nabalunews
  • Oct 28, 2024
  • 2 min read

28 Oktober 2024


TAWAU: Pelaksanaan penstrukturan subsidi diesel di Sabah, Sarawak, dan Labuan masih belum dijalankan, bukan kerana isu double standard atau ketidakadilan, tetapi atas faktor-faktor yang munasabah, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.


Menurut beliau, faktor utama adalah kesukaran dalam pemprofilan penerima bantuan bagi memastikan subsidi benar-benar sampai kepada golongan yang layak di Sabah dan Sarawak, justeru langkah penyasaran subsidi ini dimulakan secara rintis di Semenanjung Malaysia sebagai langkah percubaan sebelum diperluaskan ke wilayah lain.


"Di sana (Semenanjung) kita tahu sasaran yang mahu guna, kerajaan juga boleh salur penyasaran mengikut Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) melalui Budi MADANI," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan program Kita Gempur @ Tawau bersama rakan strategik kepenggunaan, di sini, hari ini, lapor Bernama.


Armizan berkata faktor kedua pula kerana keadaan logistik dan geografi di Borneo yang menuntut penduduk Sabah dan Sarawak menggunakan kenderaan dengan bahan api diesel bukan atas kemahuan tetapi atas keperluan keadaan geografi.


Beliau berkata alasan ketiga adalah kerana jurang harga barangan yang begitu besar di Sabah, Sarawak dan Labuan berbanding di Semenanjung sejak sekian lama dan perkara itu belum lagi dapat ditangani sehingga kini.


"Baru-baru ini saya bentang kepada Jemaah Menteri satu nota berkaitan pemantauan yang dilaksanakan oleh pegawai pemantau harga, kita kumpul tiga bulan iaitu Julai, Ogos dan September sebanyak 480 item.


"Kemudian kita bandingkan harga barangan itu dan kita dapati daripada pemantau iaitu 65 hingga 68 peratus harga barangan berkenaan jauh lebih tinggi di Sabah, Sarawak berbanding di Semenanjung," katanya.


Sementara itu Armizan berkata meskipun penyasaran subsidi diesel belum dilaksanakan di Sabah, Sarawak dan Labuan, namun dirinya selaku seorang menteri dan berasal dari Sabah, bertanggungjawab memastikan agar ketirisan subsidi diesel di negeri berkenaan ditangani.


"Jumlah terlibat subsidi diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan mencecah RM3.6 bilion setahun, dan jumlah ini bukan sedikit tetapi cukup besar sebab itu perkara ini tanggungjawab bersama memastikan tiada ketirisan berlaku," katanya.


Armizan turut memperingatkan semua pihak agar tidak menyalahkan kerajaan jika tindakan diambil berkaitan subsidi itu akibat ketirisan sering berlaku.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page