Tiga individu terperangkap dalam kebakaran di Inanam diselamatkan bomba
30 September 2024
KOTA KINABALU: Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan tiga mangsa yang terperangkap dalam kebakaran rumah di Kampung Bantayan, Inanam, di sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.53 pagi.
Katanya, seramai 13 pegawai dan anggota bersama jentera dan kenderaan
Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 11 kilometer dari balai.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah 2 tingkat jenis kekal berkeluasan 278 meter persegi terbakar di bahagian tangga 40%. Terdapat 3 orang mangsa terperangkap di tingkat 1 berjaya diselamatkan oleh pasukan bomba menggunakan tangga melalui tingkap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran, satu pancutan dengan sumber air dari tangki jentera.
Katanya kebakaran dapat dikawal jam 2.22 pagi.
“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan 3.42 pagi.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Comments