'Tiga Kali Satu Hari' menang gangsa di Anugerah APPIES APAC
top of page
  • Wartawan Nabalu News

'Tiga Kali Satu Hari' menang gangsa di Anugerah APPIES APAC


Pengurus besar Kupikupi FM menerima anugerah gangsa APPIES Asia Pacific (APAC), di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

14 August 2022

By Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Syarikat Ooga X menerusi stesen radio nombor satu Sabah Kupikupi FM mencatat satu lagi sejarah baharu apabila lagu 'Tiga Kali Satu Hari' yang diterbitkan sempena Kaamatan 2021 lalu memenangi pingat gangsa pada anugerah APPIES Asia Pacific (APAC).


Lagu yang diterbitkan bersama syarikat telekomunikasi Digi itu memenangi anugerah bagi kategori festival, 'pro bono, dan kerajaan dengan majlis penyampaiannya disempurnakan dalam satu majlis di sebuah hotel, di ibu negara, pada Khamis.


Lagu 'Tiga Kali Satu Hari' yang dicipta oleh penyanyi dan penyampai Kupikupi FM Velvet Aduk dinyanyikan secara bersama oleh penyampai-penyampai stesen berkenaan selain menampilkan Unduk Ngadau 2021 Maya Hejnowska di dalam klip video lagu itu.


Sehingga hari ini, klip video 'Tiga Kali Satu Hari' telah mendapat tontonan 1.8 juta di saluran Youtube dan menjadi kegilaan ramai selain dinyanyikan semula (cover) oleh ramai orang termasuk artis-artis Sabah sendiri.


Pengurus Besar Kupikupi FM Lester Miol, berkata, anugerah yang diberikan kepada lagu 'Tiga Kali Satu Hari' itu sangat bermakna dan didedikasikan kepada semua pendengar setia Kupikupi FM selama ini.


'"Lagu ini 'dilahirkan' pada waktu yang sukar dan memberi harapan kepada rakyat ketika pandemik melanda negara.


"Lagu ini juga mencerminkan bagaimana orang-orang Sabah 'terbang' dan berhijrah ke Semenanjung semata-mata untuk mencari rezeki walaupun agak sukar, 'menyakitkan' dan 'mahal','' katanya dalam kenyataan, hari ini.


Terdahulu, majlis Anugerah APPIES APAC kali pertama diadakan di negara ini dan ianya menerima 61 penyertaan dari tujuh negara berasingan termasuk Malaysia.


Penyertaan membabitkan kempen atau iklan dari pelbagai syarikat-syarikat dengan ciri-ciri yang diambil kira termasuklah kekreatifan dan impaknya kepada orang ramai.


Anugerah itu juga sebagai menghargai keberanian syarikat-syarikat dalam pemasaran mereka dan orang-orang di belakang mereka.


bottom of page