Tiga kategori bankrap boleh mohon pelepasan mulai 1 Mac - Azalina
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Tiga kategori bankrap boleh mohon pelepasan mulai 1 Mac - Azalina


28 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Tiga kategori bankrap yang memenuhi syarat boleh membuat permohonan untuk pelepasan melalui Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) berkuat kuasa mulai 1 Mac 2023.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pelepasan bankrap itu dilaksanakan melalui pengeluaran Sijil Pelepasan Ketua Pengarah Insolvensi di bawah seksyen 33A Akta 360.


“Kerajaan berhasrat untuk meminda Aka Insolvensi 1967 [Akta 360] dengan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempo yang singkat.


“Sementara menunggu pindaan tersebut, Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membantu rakyat yang bankrap dengan jumlah hutang berskala kecil dilepaskan daripada kebankrapan bermula 1 Mac

2023,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


ketiga-tiga kategori tersebut harus memenuhi syarat yang telah ditetapkan untuk mendapat keistimewaan pelepasan bankrap.


Pertama, pengisytiharan kebankrapan harus melepasi tempoh lima tahun dari tarikh perintah penerimaan dan perintah penghukuman/perintah kebankrapan.


Kedua, jumlah hutang yang diperakukan atau baki hutang yang terlibat tidak melebihi RM50,000. Kategori ketiga, tiada perintah mahkamah, prosiding mahkamah dan/atau prosiding penyiasatan dijalankan ke atas bankrap mengikut Akta 360 yang menghalang pelepasan diberi melalui Sijil Ketua Pengarah Insolvensi.


Ini bermakna individu yang memenuhi kriteria yang ditetapkan, boleh mengemukakan permohonan pelepasan di MdI yang mentadbir kes kebankrapan mereka.


Dalam memenuhi keperluan mereka, mereka boleh menghadiri cawangan MdI atau menghantar surat atau e-mel kepada cawangan yang terlibat untuk memeriksa status kes kebankrapan mereka. Bagi maklumat lanjut, mereka juga boleh mengunjungi laman web rasmi MdI.


Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sidang pembentangan Belanjawan 2023 mengumumkan dasar kerajaan untuk membantu rakyat yang telah diisytiharkan bankrap.


Kerajaan bercadang meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) dengan membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.


Dalam usaha kerajaan untuk memberikan sokongan kepada mereka yang terjerat dalam masalah hutang, MdI telah menyediakan set soalan lazim berhubung pelepasan melalui sijil Ketua Pengarah Insolvensi mengikut Seksyen 33A Akta Akta 360 bagi kategori bankrap dengan hutang berskala kecil di laman web rasmi www.mdi.gov.my untuk mendapatkan maklumat diperlukan.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page