Tiga kluster baharu melibatkan jangkitan tempat kerja dan dalam komunitiTiga kluster baharu melibatkan jangkitan tempat kerja dan dalam komuniti
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Tiga kluster baharu melibatkan jangkitan tempat kerja dan dalam komuniti


15 Ogos 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Tiga kluster baharu direkodkan hari ini melibatkan jangkitan tempat kerja dan dalam komuniti di Lahad Datu, Ranau dan Konabatangan.


Kluster-kluster itu dikenali sebagai Kluster Segama Batu Satu - Lahad Datu, Kluster Paka Kawiyan - Ranau dan Kluster Tangkuyan - Kinabatangan.


Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Segama Batu Satu - Lahad Datu merupakan kluster tempat kerja yang berlaku di sebuah syarikat perusahaan tayar.


“Kes indeks adalah pekerja lelaki, bukan warganegara, 40, yang didapati positif COVID-19 (RTK-Ag) hasil saringan tempat kerja pada 12 Ogos 2021 di sebuah klinik swasta.


“Punca jangkitan masih dalam siasatan namun risiko jangkitan didapati tinggi seperti keadaan rumah kongsi yang sesak serta aktiviti sosial dalam kalangan pekerja setiap petang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Masidi berkata, semua kes positif Covid-19 dalam kluster ini telah dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di PKRC Lahad Datu. Kes kontak rapat telah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sapagaya, Lahad Datu.


“Daripada 39 kontak yang disaring, 18 individu dikesan positif termasuk 11 kes baharu hari ini. Manakala, 21 individu pula didapati negatif saringan pertama,” katanya.


Masidi berkata, Kluster Paka Kawiyan - Ranau pula melibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti akibat kegagalan individu yang tidak mematuhi arahan kuarantin.


“Malah, hasil siasatan mendapati kes indeks, wanita, 32, yang disahkan positif RT-PCR hasil saringan rentas negeri hari ke-10, telah berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses talian internet.


“Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga 14 Ogos 2021, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks.


“Daripada 132 orang yang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif Covid-19 termasuk 13 kes baharu pada hari ini,” katanya.


Masidi berkata, Kluster Tangkuyan - Kinabatangan adalah penularan jangkitan dalam komuniti.


Katanya, kes indeks merupakan kerani wanita, 27, di sebuah ladang sawit di Beluran dan disahkan positif RTK-Ag (keputusan positif 63%) dalam saringan tempat kerja pada 9 Ogos 2021.


“Berikutan postitif Covid-19, kes indeks telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan selanjutnya.


“Hasil siasatan mendapati kes indeks mempunyai sejarah menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kg Tangkuyan, Kuamut,” katanya.


Beliau berkata, aktiviti siasatan kontak seterusnya mendapati seramai 128 kontak keluarga, sosial dan tanggungan telah didapati positif Covid-19.


“Sebanyak 129 kes positif termasuk 128 kes baharu direkod dalam kluster ini. Aktiviti siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page